suria

Sharifah Sakinah Belum Sedia Jadi Penyanyi

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sakinah (gambar) belum bersedia bergelar penyanyi walaupun memiliki bakat di bidang itu.

Pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar, 24, berkata, dia lebih senang menonjolkan bakat nyanyiannya itu menerusi drama atau filem-filem yang dilakonkannya kerana menganggap impak terhadap penonton lebih kuat.

"Minat saya dalam nyanyian tidaklah sekuat lakonan dan saya lebih selesa untuk menyanyi tanpa diberi gelaran sebagai penyanyi.

"Lagipun saya rasa ramai lagi bakat-bakat hebat di luar sana yang jauh lebih bagus nyanyiannya berbanding saya.

"Mungkin, menyanyi dalam drama atau filem lebih menarik, seperti yang saya lakukan untuk drama terbaharu iaitu Bunga Merah Punya dan Hotel Mania (2010)," katanya.

Sakinah ditemui pada pelancaran drama Bunga Merah Punya, terbitan Suhan Movies & Tradings Sdn Bhd di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), dekat sini, Isnin.

Tambah adik kepada pelakon Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahira (Shira) ini, selepas mengukuhkan karier sebagai seorang pelakon, dia ingin mencuba di bidang pengacaraan pula memandangkan sikapnya yang suka bercakap.

Sementara itu, menerusi drama arahan Zul Huzaimy itu, dia turut menonjolkan bakat nyanyiannya sebanyak tiga buah lagu yang berjudul Sampaikan Rindu, Oh Bulan dan Rajuk.

"Nak menyanyi tiga lagu ini pun membuatkan saya takut dan risau sekiranya nyanyian saya tidak mencapai tahap yang diinginkan. Sampaikan satu lagu saya perlu merakam selama dua hingga tiga jam.

"Lagu untuk drama pun mengambil masa lama, apatah lagi jika nak rakam lagu sebenar. Apa-apa pun, saya berasa seronok melakonkan drama ini, ia memberi cabaran yang tersendiri dalam melakonkan watak saya sebagai Bunga," selorohnya.

Bunga Merah Punya yang diarahkan oleh Zul Huzaimy disiarkan menerusi slot Aurora di TV9 yang bersiaran setiap Khamis, pukul 8.30 malam bermula 21 Februari ini.

Selain Izzue, drama bersiri 13 episod turut menampilkan Sharifah Sakinah, Sura Sojangi, Shazwan Zulkifli, Nasir Bilal Khan dan Hasnul Rahmat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain