suria

'Vishwaroopam' Perlu Lalui 7 Tapisan Sebelum Ditayangkan

S. Veerasingam (tiga dari kanan) bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat pengedar filem Vishwaroopam. Foto: IZZRAFIQ ALIAS
S. Veerasingam (tiga dari kanan) bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat pengedar filem Vishwaroopam. Foto: IZZRAFIQ ALIAS
S. Veerasingam (tiga dari kanan) bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat pengedar filem Vishwaroopam. Foto: IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Filem kontroversi terbitan dan lakonan bintang filem Tamil, Kamal Hassan berjudul Vishwaroopam yang terpaksa diharamkan di negara ini serta di negerinya sendiri iaitu Tamil Nadu perlu melalui proses tapisan sekurang-kurangnya tujuh adegan lagi jika ia ingin ditayangkan di Malaysia.

Tapisan yang dimaksudkan itu akan dilakukan dalam bentuk ‘disenyapkan’ dialog dalam beberapa adegan yang dianggap sensitif.

Perkara ini didedahkan dalam sidang media yang diadakan oleh wakil dari lapan pertubuhan India Muslim dan pengedar filem tersebut di Malaysia iaitu Lotus Five Star AV.

Sidang media itu yang diketuai oleh bekas naib presiden MIC, Datuk S. Veerasingam, dipanggil bagi menjelaskan beberapa isu berkaitan filem tersebut termasuk mengapa ia diharamkan daripada ditayang di negara ini buat masa sekarang.

Vishwaroopam, pada mulanya ditayangkan di pawagam pada 24 Januari lalu tetapi sehari selepas itu terpaksa ditarik balik apabila beberapa kumpulan India-Muslim memprotes dengan mendakwa terdapat beberapa adegan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina agama Islam.

Wakil Lotus Five Star, K.G Murthee berkata, hasil perbincangan dengan pertubuhan India-Muslim berkenaan, mereka telah berjaya mencari jalan penyelesaian.

“Pada awalnya sudah terdapat sembilan adegan yang ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia sebelum filem ini diluluskan untuk tayangan umum tetapi kini kita telah bersetuju untuk mengedit tujuh adegan lagi yang akan ‘disenyapkan’ ,” ujar beliau.

Di Tamil Nadu, penayangan filem ini terpaksa ditunda selama 15 hari bagi membolehkan penyelesaian kompromi dapat dicapai di antara penerbit dan pihak-pihak yang memprotes.

Murthee menambah, selepas kedua-dua belah berjaya mencapai kata sepakat kini terpulanglah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi menentukan langkah seterusnya.

Menurut Murthee, pihak pengedar telah memulangkan semula wang tempahan hampir 300,000 orang penonton yang telah membuat tempahan awal untuk menonton Vishwaroopam di 67 buah pawagam di seluruh negara.

Sementara itu, Penasihat Pergerakan Pemuda India Muslim Malaysia, Mohamed Kathir Ali menjelaskan bahawa mereka dan lain-lain pertubuhan India Muslim tidak mendesak agar filem itu diharamkan di sini.

“Kami cuma mahu beberapa bahagian yang sensitif dikeluarkan,’’ kata Mohamed sambil menegaskan mereka turut mewakili lebih 60 pertubuhan India Muslim di negara ini.

Adalah difahamkan, Lotus Five Star telah kerugian sehingga RM4 juta ekoran penangguhan penayangan filem aksi risikan itu.

Artikel Sebelum

Katie Holmes Berdebar Mahu Dating

Artikel Berikut

Artikel Lain