suria

Suami Gagal Halang A.Aida Beri Kenyataan Kepada Media

A.Aida (kanan) berkata sesuatu dengan peguamnya, Zulkifli Che Yong, di mahkamah pada Jumaat. Foto FERIDE
A.Aida (kanan) berkata sesuatu dengan peguamnya, Zulkifli Che Yong, di mahkamah pada Jumaat. Foto FERIDE
A.Aida (kanan) berkata sesuatu dengan peguamnya, Zulkifli Che Yong, di mahkamah pada Jumaat. Foto FERIDE

KUALA LUMPUR: Suami kepada penerbit drama A.Aida iaitu Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman gagal mendapatkan perintah interim injunksi bagi melarang isterinya memberi kenyataan kepada pihak media apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Jumaat menolak permohonan tersebut.

Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain berhujah permohonan tersebut dianggap tidak relevan kerana kenyataan A.Aida yang diberikan kepada pihak media sebelum ini tidak melibatkan prosiding kes mahkamah.

"Permohonan injunksi bukan sewenang-wenangnya boleh dikeluarkan oleh pihak mahkamah melainkan ia mengganggu perjalanan kes.

"Setakat ini, mahkamah berpuas hati dengan laporan media massa dan mereka telah membuat laporan mengikut peraturan undang-undang yang sedia ada.

"Laporan yang dikeluarkan juga bukanlah sebuah andaian atau spekulasi yang dibuat-buat," hujah Amran pada prosiding tersebut di sini, Jumaat.

Tambah Amran, laporan media yang membabitkan kes mahkamah juga wajar dipaparkan kerana ia boleh memberi pengajaran buat masyarakat umum melainkan prosiding dilakukan secara tertutup.

Pada prosiding yang berlangsung Jumaat, peguam syarie A.Aida iaitu Zulkifli Che Yong yang merupakan plaintif dalam tuntutan ini telah membuat hujahan balas dengan mengatakan anak guamnya memahami batas-batas dalam mengeluarkan kenyataan dan dirujuk kepadanya terlebih dahulu.

"Saya akui A.Aida pernah berkata ingin mendedahkan hal rumah tangganya, tetapi ia akan dilakukan di mahkamah.

"Ini adalah perkara umum dan pemohon juga terpaksa memberikan keterangan terhadap pihak-pihak terbabit di mahkamah tanpa takut dan sekatan.

"Bagaimanapun, sekiranya pihak media bertanya dengan lebih mendalam, responden akan berhati-hati dan bersyarat dalam memberikan kenyataannya," kata Zulkifli.

Sementara itu A. Aida yang ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukurnya apabila mahkamah menolak permohonan suaminya itu dan dia akan memberi fokus pada tuntutan fasakh yang akan dibicarakan pada 28 Februari depan.

Pada prosiding Jumaat, Suffian, 45, yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik Bukit Aman tidak menghadirkan diri dan beliau diwakili peguam Ismail Mohd.

Pada 2 November tahun lalu, A.Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 43, memfailkan permohonan fasakh terhadap Suffian.

A. Aida yang popular dengan penerbitan drama Halimah Jongang berkahwin dengan Suffian pada 20 April 2007.

Suffian yang merupakan seorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu serta seorang anak lelaki bernama Muhammad Rahul yang berusia empat tahun hasil perkahwinannya dengan A.Aida

A. Aida juga pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003. Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun.

Dia juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis berpangkat biasa tetapi rumah tangga itu tidak kekal lama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain