suria

Hafiz Hamidun Lebarkan Konsert Terapi Ke Johor

Hafiz Hamidun
Hafiz Hamidun
Hafiz Hamidun

PETALING JAYA: Selepas kejayaan menerusi konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang diadakan pada 14 November tahun lalu, penyanyi itu akan meneruskan kesinambungan konsert tersebut di Stadium Bandaraya Johor Baru pada 23 Februari depan.

Hafiz yang juga penerbit eksekutif konsert ini berkata, ia diadakan atas permintaan peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan persembahannya pada konsert lalu.

"Saya mendapat banyak respons daripada para peminat di Twitter dan Facebook yang melahirkan rasa kecewa mereka kerana tidak dapat menghadiri konsert pertama saya yang diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Selain itu memang menjadi perancangan saya untuk menyebarkan dakwah secara zikir melalui medium seni tersebut.

"Jika konsert lalu kami berjaya mendapatkan sasaran sebanyak 2,000 jualan tiket, kali ini kami cuba mengumpulkan 4,000 penonton pula," katanya kepada mStar Online di sini pada Khamis.

Promosi tiket konsert tersebut juga akan dibuat di Singapura.

Tambah Hafiz, beberapa gimik dan barisan artis bakal ditampilkan bagi mewarnai konsert itu dengan pimpinan pengarah muzik Lok-U.

Sementara itu, Hafiz berkata, Konsert Zikir Terapi Diri ini juga sebagai satu projek bergerak sepanjang tahun di beberapa negeri tanah air.

Penyanyi ini juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat korporat bagi membiayai dan menjayakan konsert berkenaan.

Konsert Zikir Terapi diadakan bagi membuktikan persembahan hiburan dengan pendekatan yang lebih islamik juga mampu bersaing secara positif di persada seni tanah air.

Tiket yang berharga RM38, RM78, RM118 dan RM158 boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-77271297 dan 012-2251297.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain