suria

Rating Tinggi Drama Di RTM, Pelakon & Krew Dapat Imbuhan

Para pelakon dan krew mendapat imbuhan atas sambutan drama Maharani dan Mak Yong terbitan World Evolution Brain (M) Sdn Bhd yang mendapat rating tinggi. Foto Low Boon Tat
Para pelakon dan krew mendapat imbuhan atas sambutan drama Maharani dan Mak Yong terbitan World Evolution Brain (M) Sdn Bhd yang mendapat rating tinggi. Foto Low Boon Tat
Para pelakon dan krew mendapat imbuhan atas sambutan drama Maharani dan Mak Yong terbitan World Evolution Brain (M) Sdn Bhd yang mendapat rating tinggi. Foto Low Boon Tat

KUALA LUMPUR: Sambutan terhadap drama Maharani dan Mak Yong terbitan World Evolution Brain (M) Sdn Bhd yang mendapat rating tinggi selepas di tayangkan di RTM tahun lalu membolehkan para pelakon dan krewnya mendapat imbuhan.

Pengarah urusannya, Jurey Latif Rosli berkata, sumbangan itu diberikan selepas pihaknya memperoleh sebahagian daripada Dana Industri Kreatif, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

"Ini adalah kali kedua World Evolution Brain (M) Sdn Bhd menerima dana tersebut dan sebagai menghargai usaha semua krew termasuk pelakon dan penulis skrip, sumbangan yang diterima turut diagih-agihkan kepada mereka.

"Kami mahu berkongsi insentif berkenaan dengan mereka supaya dapat menaikkan lagi semangat untuk terus berkarya selepas ini," katanya kepada mStar Online.

Jurey ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, (Sistem dan Kawalan), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus pada Jumaat.

Ahmad Jailani sebelum itu turut merasmikan pejabat baru syarikat produksi berkenaan yang terletak di Sri Rampai, Wangsa Maju di sini.

Antara artis yang hadir bagi menerima imbuhan itu adalah Ako Mustapha, Maimun Mutalib, Wan Nor Azlin, Delimawati serta krew yang menjayakan dua buah drama tersebut.

Jurey bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dana yang diterima oleh syarikatnya.

Dalam pada itu, Jurey berkata, menerusi dana berkenaan pihaknya dapat menaik taraf kemudahan pejabat dan menyediakan peralatan untuk menghasilkan drama yang lebih baik.

Malah kata Jurey, pihaknya syarikat produksinya kini telah mempunyai alat kelengkapan pasca-produksi sendiri bagi memudahkan kerja-kerja suntingan sesebuah projek.

Sementara itu, Jurey berkata, pihaknya akan lebih banyak menghasilkan drama dan dokumentari bertemakan sejarah dan kemasyarakatan.

Pihaknya juga sedang dalam proses penggambaran dua buah drama bersiri yang mengangkat kisah sejarah iaitu Rumah Kecil Itu dan Demi Negara untuk siaran RTM.

"Sudah tiba masanya kita memperbanyakkan drama yang berkisarkan tentang sejarah dan kemasyarakatan supaya penonton mendapat maklumat berguna selain masih boleh menikmati elemen hiburan dalam sesebuah drama itu sendiri," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain