suria

Soo Wincci Tidak Lupakan Asal Usul Selepas Ke Taiwan

Soo Wincci sedang sibuk menyiapkan album terbarunya di Taiwan.
Soo Wincci sedang sibuk menyiapkan album terbarunya di Taiwan.
Soo Wincci sedang sibuk menyiapkan album terbarunya di Taiwan.

PETALING JAYA: Penyanyi dan bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia, Soo Wincci berjanji akan mengutamakan para peminat tempatan walaupun sedang sibuk menyiapkan album sulung antarabangsanya di Taiwan.

Soo Wincci, 27, berkata, dia sentiasa sedar tentang asal usulnya dan menjelaskan kejayaan yang dikecap hari ini adalah kerana sokongan para peminat di Malaysia.

"Peluang yang saya terima untuk melebarkan sayap ke luar negara tidak akan berlaku jika kerjaya di negara sendiri tidak berkembang dan saya sentiasa menghargai semua peminat di sini kerana merekalah dorongan utama saya.

"Atas sebab itu juga saya akan tetap mengutamakan negara sendiri kerana saya inilah tempat saya bermula dan bukannya di peringkat antarabangsa," jelasnya kepada mStar Online.

Soo Wincci turut mencontohi sikap penyanyi Yuna yang tidak pernah melupakan peminat tempatan dan sering berulang alik dari Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur untuk bertemu peminat.

Dalam pada itu, Soo Wincci mengakui jadualnya kini amat padat dengan pelbagai aktiviti di Taiwan sebelum albumnya dilancarkan untuk pasaran Asia pada waktu terdekat ini.

Soo Wincci bagaimanapun berkata, walaupun sibuk dengan pelbagai projek dia akan memastikan pada hujung minggu dia akan berada di Kuala Lumpur.

"Jadual saya sekarang sangat ketat iaitu Isnin sehingga Jumaat saya akan berada di Taiwan untuk merakamkan album dan beberapa aktiviti lain dan pada hujung minggu pula akan berada di Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan.

"Walaupun penat tetapi saya puas dapat kembali ke negara sendiri demi peminat kerana tidak mahu melupakan mereka yang terlebih dahulu mengenali siapa saya," katanya.

Sementara itu, Soo Wincci memberitahu album berbahasa Malaysia nyanyiannya sudah pun siap sepenuhnya namun memberi laluan kepada album berbahasa Mandarin terlebih dahulu untuk dilancarkan.

Katanya, selepas semua aktiviti promosi di Taiwan selesai dia akan menumpukan sepenuhnya terhadap album yang mendapat sentuhan Ajai itu.

"Buat permulaan saya telah melancarkan single bersama Joe Flizzow berjudul Terus Teranglah dan album penuh akan menyusul selepas aktiviti promosi di Taiwan selesai," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain