suria

Pihak Swasta Diminta Bangunkan Panggung Skala Sederhana

Datuk Seri Dr Rais Yatim
Datuk Seri Dr Rais Yatim
Datuk Seri Dr Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Pihak swasta di saran membina panggung berskala sederhana di sekitar Kuala Lumpur serta di mana-mana bandar raya di sekitar Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, penambahan panggung jenis itu dapat membantu mengembangkan sektor persembahan teater ke peringkat yang lebih unggul.

"Sangat penting untuk kita dapatkan kerjasama swasta dalam pembangunan persembahan teater di negara ini.

"Kita ingin timbulkan semula bahawa apabila pihak swasta menyumbang, mereka akan diberi pengecualian cukai asalkan projek mereka diluluskan atas beberapa syarat (yang telah ditetapkan)," katanya selepas melancarkan Program Istana Budaya 2013 di sini, Rabu.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Masnah Rais, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Rais berkata pembangunan panggung berskala sederhana juga mampu menampung kegiatan teater yang semakin meningkat, dan tidak hanya bergantung kepada Istana Budaya serta panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semata-mata.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata persembahan berskala sederhana dari Istana Budaya akan dibawa ke panggung-panggung Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di beberapa negeri seperti Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

"Ini supaya suasana dan kemeriahan teater dapat dirasai bersama di sektor luar Kuala Lumpur," katanya.

Ditanya mengenai bantuan kerajaan untuk panggung-panggung milik swasta yang mengalami masalah seperti kewangan, Rais berkata: "Mereka harus berunding dengan kita dan kita bersedia menimbang apa-apa cadangan yang membina."

Bagaimanapun, katanya setakat ini tiada syarikat yang datang berunding dengan pihak kementerian, malah lebih suka meluahkan pandangan di media tertentu.

Terbaru, Pentas Seni Kuala Lumpur (KLPAC) di Sentul yang telah beroperasi selama tujuh tahun dilaporkan berdepan masalah kekurangan dana yang semakin serius.

Rais menasihatkan agar pihak terlibat mengemukakan cadangan jelas berhubung pelan perniagaan terperinci masing-masing supaya dapat dinilai dan dibantu oleh kementerian.

"Kita tidak mahu mana-mana panggung ditutup semata-mata kekurangan belanjawan dan infrastruktur.

"Tapi kita juga harus persoalkan apa yang mereka telah buat setakat ini. Usaha sama ini kami boleh fikirkan dan jika sesuai, secepat mungkin mereka datang berunding dengan kita," katanya lagi.

Sementara itu, Rais juga berharap agar ada pihak yang boleh membawa persembahan teater untuk kaum India ke Istana Budaya supaya dapat memberi lebih gambaran 1Malaysia dalam persembahan yang ditampilkan organisasi itu serta memberi peluang masyarakat berkenaan terlibat dalam industri tersebut.

Sebanyak 24 program di jadual dipentaskan di Istana Budaya pada tahun depan termasuk Getaran Legenda Ku Tribute to P.Ramlee yang menampilkan penyanyi Jamal Abdillah sebagai teraju utama. Ia akan berlangsung dari 30 Mei hingga 2 Jun,.

Ia diikuti Songs of the Wanderers dari Taiwan (11-13 Januari) dan Scooby Doo Live Show (19-21 Ogos). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain