suria

Pengerusi Finas Sahkan FFM25 Diadakan Pada Februari 2013

Md. Afendi Hamdan
Md. Afendi Hamdan
Md. Afendi Hamdan

PETALING JAYA: Teka-teki bilakah penganjuran Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM-25) yang menjadi kontroversi kerana asyik tertangguh akhirnya terjawab apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengesahkan acara itu bakal berlangsung pada pertengahan atau hujung Februari 2013.

Pengerusinya, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata, persiapan menjelang acara berprestij itu berjalan seperti biasa di mana proses pengadilan kesemua 70 filem yang bertanding sedang rancak dilakukan.

“Kita (Finas) sudah berbincang dengan pihak industri. Seperti kita sedia maklum, untuk buat (FFM25) pada hujung tahun ini memang tidak sempat kerana penghakiman kesemua filem memakan masa yang panjang.

“Malah, proses penghakiman masih berlangsung sehingga sekarang. FFM25 akan diadakan pada pertengahan atau hujung Februari depan,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak kononnya Finas bersikap ‘lepas tangan’ apabila mendiamkan diri tanpa sebarang perkembangan mengenai FFM25, Md. Afendi berkata, perbadanan itu sudah berbincang dengan wakil-wakil industri perfileman berhubung persiapan acara tersebut.

“Keutamaan pada waktu ini adalah proses penghakiman filem yang bertanding. Bagaimanapun, Finas sudah berbincang dengan wakil industri mengenai perkembangan acara itu.

“Kita akan maklumkan mengenai persiapan ke arah FFM25 selepas penghakiman selesai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Md. Afendi berkata, desas-desus mengenai pertukaran Ketua Pengarah (KP) Finas yang baharu tidak wajar dijadikan isu kerana kontrak KP ketika ini iaitu Mohd Naguib Razak bakal berakhir pada 31 Disember ini.

“Tiada sebarang isu pun yang timbul. Kebetulan kontrak KP sekarang bakal tamat pada 31 Disember ini. Kalau diikutkan, kontrak tahunannya sudah lama tamat tetapi dilanjutkan pada setiap bulan sehingga hujung tahun.

“Memandangkan Finas dan Filem Negara Malaysia (FNM) akan bergabung menjadi satu agensi berkuat kuasa 1 Januari depan, jadi buat masa ini KP FNM iaitu Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah akan memangku tugas KP Finas.

“Bagaimanapun bermula tahun hadapan Raja Rozaimie akan memegang peranan ketua pengarah untuk kedua-dua agensi tersebut,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain