suria

Gafim Kesal Finas Lepas Tangan Persiapan FFM25

Jurey terkilan kredibiliti Gafim terjejas gara-gara disalah ertikan kerana penangguhan persiapan Festival Filem Malaysia ke-25. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
Jurey terkilan kredibiliti Gafim terjejas gara-gara disalah ertikan kerana penangguhan persiapan Festival Filem Malaysia ke-25. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
Jurey terkilan kredibiliti Gafim terjejas gara-gara disalah ertikan kerana penangguhan persiapan Festival Filem Malaysia ke-25. - Foto oleh SHAARI CHE MAT

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) kesal dengan sikap lepas tangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kerana tidak memberikan maklumat terkini mengenai persiapan penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25.

Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, sehingga Isnin pihaknya masih tidak menerima sebarang perkembangan mengenai tarikh baru acara atau pengagihan tugas menjelang FFM25 yang dikatakan bakal berlangsung pada awal 2013.

“Gafim kesal dengan sikap Finas mengenai penganjuran FFM25. Sehingga hari ini kami masih tidak menerima apa-apa maklumat dan penyerahan tugas mengenai acara itu.

“Kita tidak tahu apa-apa langsung sedangkan masa semakin suntuk. Kalau FFM hendak dianjurkan pada Januari atau Februari, bukankah kita akan terkejar-kejar untuk buat persiapan?

“FFM25 adalah acara yang besar dan hebat. Jika buat persiapan secara tergopoh-gopoh akan timbul masalah lain pula,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Difahamkan, persiapan FFM25 yang tidak mempunyai sebarang perkembangan turut disebabkan desas-desus pertukaran Ketua Pengarah (KP) Finas yang baharu.

Jurey berkata, tindakan Finas itu menjejaskan imej dan kredibiliti Gafim kerana disalah ertikan sebagai tidak bertanggungjawab dan cekap dalam menganjurkan acara berkenaan.

“Bagaimana kami hendak mulakan persiapan FFM25 jika tiada perbincangan atau maklumat daripada Finas?

“Ada pihak sudah mempersoalkan peranan Gafim dalam penganjuran tahun ini sedangkan kita tidak boleh bertindak (menguruskan FFM) tanpa arahan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Jurey berkata, Gafim meminta penjelasan daripada Finas dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) berhubung pelaksanaan FFM25 yang bakal mencatatkan sambutan jubli perak.

“Gafim mohon penjelasan daripada Finas atau kementerian sekali pun agar kami tidak dipersalahkan atas penangguhan persiapan FFM25.

“Ini (FFM) adalah acara jubli perak dan berskala besar. Bukan boleh petik loceng hari ini, esok FFM boleh buat terus,” ujarnya secara sinis.

Menerusi laporan mStar Online bertarikh 28 November lalu, KP Finas Mohd Naguib Razak berkata, penangguhan FFM25 yang sepatutnya diadakan pada 30 Disember ini dilakukan atas permintaan sebahagian besar karyawan filem tanah air.

Katanya, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan risiko kegagalan para penggiat menghadiri acara itu ekoran komitmen peribadi masing-masing pada hujung tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain