suria

Jack Neo Mahu Berenang Jika Filemnya Pecah Panggung

Jack Neo
Jack Neo
Jack Neo

PETALING JAYA: Pengarah filem dan pelakon Singapura, Jack Neo berjanji mahu berenang di sepanjang Singapore River bersama barisan pelakon filem Ah Boys To Men: Part One jika filem itu mencatat kutipan pecah panggung di negara ini sebagaimana berlaku di republik itu.

Filem komedi bertemakan ketenteraan itu menerima pencapaian terbesar bagi filem berbahasa Mandarin dengan jumlah pungutan tertinggi di Singapura iaitu RM15 juta ($6.03 juta dolar Singapura) sejak ia ditayangkan pada 8 November lalu.

Neo berkata, kejayaan itu bagaikan sebuah mimpi yang bertukar menjadi kenyataan kerana dia tidak menyangka filem tersebut akan memperoleh kutipan sebesar itu.

“Saya tidak dapat gambarkan dan menjelaskan perasaan saya. Sebelum ini saya hampir berputus asa atas sebab terpaksa melalui pelbagai rintangan kehidupan.

“Tetapi, disebabkan minat yang terlalu mendalam terhadap filem, saya teruskan perjuangan saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Filem berkenaan menemui penonton di Malaysia bermula Khamis lalu dan sempena promosi filem itu, Neo juga akan mengadakan sesi jelajah di Melaka dan Johor Bharu serta Kluang, Johor bagi berkongsi berita baik itu dengan rakyat Malaysia.

Ah Boys To Men: Part One diedarkan di Malaysia oleh Grand Brilliance dan MM2 Entertainment Sdn Bhd.

Artikel Berikut

Artikel Lain