suria

Alyah Mohon Maaf, Harap Adi (6ixth Sense) Tidak Terkilan

Alyah
Alyah
Alyah

PETALING JAYA: Penyanyi Alyah memohon maaf kepada komposer lagu Kisah Hati iaitu Adi (6ixth Sense) kerana tidak menyebut namanya ketika memberi ucapan penghargaan apabila meraih anugerah Lagu Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM2012) di Singapura, Sabtu lalu.

Alyah, 31, berkata, dia tidak berniat untuk melupakan Adi atau nama komersialnya Manusia Putih sebaliknya telah terlupa akibat terlalu terkejut ketika diumumkan memenangi Lagu Terbaik dalam anugerah itu.

"Saya ingin memohon maaf kepada Adi kerana tidak menyebut namanya ketika memenangi anugerah tersebut. Saya harap dia tidak terkilan.

"Waktu itu fikiran saya berserabut dengan masalah baju dan pada masa sama terkejut kerana memenangi anugerah yang tidak disangka itu. Bukan sengaja enggan menyebut namanya," kata Alyah.

Tambah Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, kontroversi baju yang tercetus kerana dia tidak memakai pakaian dua pereka fesyen terkemuka iaitu Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini itu juga membuatkan fikirannya tidak tenang sepanjang berada di majlis itu.

"Saya harap Adi faham dengan keadaan saya ketika itu. Apa yang telah berlaku benar-benar mematikan saat-saat indah yang diraih selepas 12 tahun menanti.

"Apa-apa pun, maafkan saya sekali lagi andai kata Adi terasa. Jujurnya saya tidak pernah melupakan jasanya yang mencipta lagu yang sangat menakjubkan itu sehingga menerima penghargaan seperti ini," tuturnya.

Pada Ahad lalu, Hatta dan Rizman menerusi Twitter mereka telah menempelak Alyah kerana penyanyi itu dikatakan tidak memakai pakaian yang ditaja mereka untuk APM2012, sebuah acara hiburan yang membabitkan penyertaan tiga negara termasuklah Malaysia dan Indonesia.

Alyah dilaporkan telah meminta tiga pereka fesyen termasuk seorang lagi iaitu Amir Luqman bagi menghasilkan busana untuk acara berkenaan sebaliknya beliau dikatakan hanya memakai pakaian rekaan Amir sahaja untuk persembahan pentas serta miliknya sendiri bagi acara karpet merah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain