suria

Pusat Sains Negara Terbitkan 'Planet Kiara' Untuk Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Pusat Sains Negara (PSN) buat julung kalinya menerbitkan drama bersiri sains fiksyen berjudul 'Planet Kiara' yang akan disiarkan setiap Khamis di TV3 mulai 27 Disember ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Prof Datin Paduka Dr Khatijah Mohd Yusoff berkata, drama kanak-kanak 26 episod itu bukan sekadar hiburan malah menerapkan elemen sains dan teknologi dalam jalan ceritanya.

"Drama Planet Kiara adalah hasil kerjasama PSN dan syarikat filem, Bleu Nagas Production Sdn Bhd.

"Ia merupakan sebuah projek di bawah Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional 2012 (SGI2012) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2012 lepas," katanya ketika berucap melancarkan drama bersiri itu di PSN, Bukit Kiara di sini, Khamis.

Turut hadir Pengarah PSN Prof Madya Dr Irmawati Ramli.

Drama itu mengisahkan kehidupan keluarga Prof Johari dan anak-anaknya iaitu Adam, Tasya, Cahya, Aril dan sebuah robot bernama PSN-1.

Khatijah berkata penerbitan drama itu bertujuan meningkatkan minat, penghargaan dan kefahaman dalam kalangan pelajar terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Planet Kiara menggunakan imej janaan komputer (CGI) dan jalan ceritanya mudah difahami oleh golongan pelajar sekolah rendah," katanya.

Beliau berkata penerbitan drama itu secara langsung dapat melonjakkan peranan PSN sebagai agensi di bawah Mosti dalam memartabatkan pembelajaran Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kalangan pelajar. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain