suria

Siti Nurhaliza, Rossa Mahu Malaysia & Indonesia Bersatu Melalui Muzik

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza

JAKARTA: Penyanyi nombor satu Malaysia Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan penyanyi top Indonesia iaitu Rossa bersama beberapa artis popular dari kedua-dua negara itu malam Isnin menyampaikan pesanan bahawa rakyat Malaysia-Indonesia boleh bersatu melalui muzik.

Pesanan itu disampaikan dalam Konsert Ekspresi Karya Gemilang yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Mata Elang, Ancol, Jakarta.

Mereka sepakat bahawa rakyat kedua-dua negara jangan mudah terpengaruh dengan provokasi segelintir pihak yang gemar melihat sengketa antara kedua-dua negara yang telah lama bersahabat itu.

Siti berkata ikatan persahabatan yang sekian lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara itu terlalu unik dan amat wajar untuk terus diperkukuhkan lagi.

Sebagai penghibur masyarakat, Siti yakin beliau dan rakan-rakan artis lain bersedia memainkan peranan bagi menyatukan rakyat Malaysia dan Indonesia melalui muzik.

"Kalau muzik boleh menyatukan penyanyi Indonesia dan Malaysia, saya fikir perkara yang sama juga boleh berlaku dalam konteks rakyat kedua-dua negara," katanya.

Rossa pula berkata kemesraan yang lama wujud dalam hubungan Malaysia dan Indonesia harus dipertahankan kerana persahabatan itu membawa banyak faedah kepada kedua-dua belah pihak.

"Malaysia, Indonesia adalah saudara yang cukup akrab. Maka, kita harus satukan kemesraan kedua-dua bangsa. Tidak perlu ada sengketa. Kalau ada sekalipun, ia boleh diselesaikan melalui cara yang bijaksana," kata Rossa.

Sementara itu penyanyi rock fenomena Malaysia, Amy (Search) yang turut beraksi di konsert itu pula berkata muzik merupakan platform terbaik untuk mengekalkan hubungan persahabatan Malaysia-Indonesia.

Pengalaman beliau bersama kumpulan muzik rock Search mempopularkan lagu Isabella pada awal tahun 1990-an adalah antara bukti bahawa muzik membawa kemakmuran kepada rakyat Malaysia dan Indonesia.

Artis-artis lain yang turut sama dalam konsert anjuran syarikat perladangan P.T. Minamas itu ialah Shila Amzah dari Malaysia serta kumpulan Ungu, Armada dan Inka Christie dari Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain