suria

Izyan (MasterChef 2) Yakin Dapat Imbangi Antara Kerjaya & Masakan

Izyan bersama trofi kemenangannya semasa dinobatkan sebagai Juara MasterChef Malaysia musim kedua pada malam Sabtu. Foto ROHAIZAT DARUS.
Izyan bersama trofi kemenangannya semasa dinobatkan sebagai Juara MasterChef Malaysia musim kedua pada malam Sabtu. Foto ROHAIZAT DARUS.
Izyan bersama trofi kemenangannya semasa dinobatkan sebagai Juara MasterChef Malaysia musim kedua pada malam Sabtu. Foto ROHAIZAT DARUS.

SHAH ALAM: Juara MasterChef Malaysia musim kedua, Izyan Hani yakin dapat mengimbangi antara bidang masakan dan kerjayanya sebagai Pegawai Geologi selepas menjuarai pertandingan itu pada malam Sabtu.

Izyan, 25, berkata, dia tidak berhasrat untuk melepaskan jawatannya itu kerana meminati bidang geologi dan akan cuba membahagikan masa sebaik mungkin selepas ini.

"Saya meminati bidang sains dan masakan secara serentak cuma sebelum ini saya mendahulukan bidang geologi dan kini tiba masanya saya memenuhi impian dan cita-cita saya dalam bidang kulinari," ujarnya kepada mStar Online.

Izyan dinobatkan sebagai juara program tersebut selepas berjaya menumpaskan dua peserta lelaki iaitu Ng Yeong Hong (Ah Hong) dan Muhd Fazrul Nizam Anas Anizan (Along).

Kemenangan Izyan melayakkan dirinya untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah peralatan memasak tajaan Panasonic.

Episod terakhir yang siarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134).

Dalam pada itu, Izyan berkata, dia berhasrat untuk mencipta satu resepi istimewa yang boleh menjadi 'trend' dikalangan penggemar makanan.

Kata Izyan, cita-cita itu telah lama dipendam dan berharap ia akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.

"Saya selalu memasang angan-angan untuk mencipta satu jenis makanan yang ia akan menjadi kegilaan masyarakat dan hanya boleh didapati di restoran saya sahaja," katanya.

Bagaimanapun kata Izyan, walaupun telah bergelar juara MasterChef, itu tidak bererti dia boleh mendabik dada kerana baginya masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam menjadi tukang masak yang terbaik.

"Perjalanan saya sebagai tukang masak masih jauh dan saya tidak sabar untuk mempelajari perkara baru," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain