suria

Irma Hasmie Hasrat Kembali Berlakon Selepas Bersalin

Irma yang sedang mengandung lima bulan berhasrat untuk kembali berlakon selepas bersalin pada tahun hadapan.
Irma yang sedang mengandung lima bulan berhasrat untuk kembali berlakon selepas bersalin pada tahun hadapan.
Irma yang sedang mengandung lima bulan berhasrat untuk kembali berlakon selepas bersalin pada tahun hadapan.

PETALING JAYA: Pelakon Irma Hasmie berhasrat untuk kembali berlakon selepas melahirkan anak pertama bersama suami Reza Syah Azmeer Mohd Redzuan pada Mac tahun hadapan.

Irma, 30, berkata, buat masa ini dia mahu berehat daripada bidang itu kerana tidak yakin mampu memberikan persembahan terbaik dengan keadaannya yang sedang berbadan dua.

"Sekarang ni nak bercakap pun termengah-mengah apatah lagi nak berlakon. Jadi saya berehat sebentar daripada dunia lakonan dan Insya Allah akan kembali selepas bersalin nanti," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Irma, dia hanya akan menerima watak yang sesuai dengan penampilan dan statusnya sebagai isteri orang.

"Suami pun tidak menghalang dan jika ada rezeki untuk berlakon dengan watak yang sesuai apa salahnya," jelasnya.

Dalam pada itu, Irma memberitahu kandungannya yang sudah memasuki usia lima bulan tidak mempunyai sebarang masalah dan memberitahu dia berkemungkinan bakal menimang cahaya mata lelaki.

"Masa buat imbasan tempoh hari dia macam menyorok lagi tetapi Insya Allah dapat anak lelaki. Bagaimanapun saya tidak kisah dengan jantina kerana yang penting bayi dalam keadaan sihat," jelasnya.

Sementara itu, Irma berkata, dia kini banyak menumpukan perhatian kepada bidang pengacaraan di TV Al-Hijrah iaitu program Assalamualaikum selain aktif menghadiri kelas Usrah Fitrah.

"Buat masa sekarang bidang pengacaraan yang paling sesuai dengan saya dan sekurang-kurangnya saya dapat meluangkan lebih banyak masa bersama suami.

"Manakala dengan Usrah Fitrah selain menghadiri kelas agama, kami kini sedang giat mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa keganasan Israel di Semenanjung Gaza dengan mengutip dana dan mengadakan solat hajat untuk saudara Islam di sana," jelasnya.

Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui Bank Islam Malaysia Berhad (No. Akaun: 1202-9010-0478-80) atau Maybank Malaysia Berhad (5622-6301-0787) atas nama 'Aman Palestin Berhad'.

Sumbangan juga boleh dibuat melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip PALESTIN 10 (Jika nilai RM10) dan hantar ke 39111.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari www.amanpalestin.net atau www.usrahfitrah.com.

Artikel Lain