suria

Nirwana Bangga Digelar Pemuzik 'Kampung'

Kumpulan Nirwana
Kumpulan Nirwana
Kumpulan Nirwana

KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik dari Indonesia yang popular dengan lagu Sudah Cukup Sudah iaitu Nirwana bangga dilabel sebagai artis 'kampung' kerana genre pop Melayu diangkat menerusi album pertama mereka berjudul Ingin Kau Bahagia.

Vokalis kumpulan itu, Denis, berkata, mereka tidak mempunyai sebab untuk malu dengan gelaran tersebut sebaliknya berpuas hati apabila dapat mempopularkan genre itu.

"Kami sendiri berasal dari kampung dan berbangga dapat membawa muzik Melayu untuk diperdengarkan kepada peminat.

"Perasaan malu tidak timbul kerana muzik itu universal dan Alhamdulillah kami sudah mula diterima di Malaysia dan Indonesia," ujarnya ketika ditemui selepas pelancaran album pertama mereka di Hard Rock Cafe di sini, pada Selasa.

Tambah Denis walaupun mengangkat pop Melayu sebagai taruhan utama mereka turut menyelitkan muzik rock dan blues dalam lagu-lagu ciptaan mereka.

Dalam pada itu, Denis berkata, Nirwana bersyukur apabila mendapat perhatian daripada peminat di negara ini selepas tampil dengan single Sudah Cukup Sudah.

Katanya keputusan mereka menukar genre muzik daripada rock kepada pop telah membuka ruang untuk muzik mereka mendapat perhatian ramai.

"Sebelum ini hampir tiga tahun kami cuba nasib dengan muzik rock namun sentiasa ditolak oleh pihak syarikat rakaman.

"Namun pop Melayu telah mengubah nasib dan kami akan meneruskan untuk memperjuangkan genre ini," jelasnya.

Sementara itu, Denis berasa terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara pada Anugerah Industri Muzik 19 (AIM19) yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Ia adalah penghargaan paling besar buat kumpulan Nirwana dan pemangkin semangat buat mereka untuk lebih baik pada masa hadapan.

"Jujur kami hadir ke AIM untuk mengadakan persembahan buat peminat-peminat dan tidak terfikir mengenai anugerah.

"Namun ia rezeki kami dan tugas kami semakin berat selepas ini dalam memberikan yang terbaik kepada peminat," katanya.

Dalam perkembangan lain, kebanyakan karya dalam album pertama mereka dicipta sendiri termasuk penulisan lirik.

Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut adalah Cinta Memang Cinta, Ingin Kau Bahagia, Lagu Metal (Melayu Metal), Lukisan Rindu, Aku Dan Dirimu dan Cinta Berbuah Dosa.

Artikel Sebelum

Artikel Lain