suria

Tertekan, Bernard Chauly Joging Dalam Cuaca Sejuk Di Istanbul

Bernard Chauly puas hati dengan hasil karyanya, Istanbul Aku Datang. Foto M.AZHAR ARIF
Bernard Chauly puas hati dengan hasil karyanya, Istanbul Aku Datang. Foto M.AZHAR ARIF
Bernard Chauly puas hati dengan hasil karyanya, Istanbul Aku Datang. Foto M.AZHAR ARIF

PETALING JAYA: Gara-gara tertekan dengan penggambaran sebuah babak filem Istanbul Aku Datang di Istanbul, Turki, pengarahnya, Bernard Chauly, sanggup berjoging walaupun dalam keadaan suhu yang sangat sejuk.

Bernard berkata, ia merupakan salah satu cara untuknya menghilangkan tekanan lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak berfikir demi mendapatkan syot terbaik sepanjang dua minggu penggambaran dijalankan pada Oktober tahun lalu.

"Dengan cuaca yang tidak menentu, bukan mudah untuk saya bersama seluruh kru menjalani penggambaran di Istanbul dan sedikit sebanyak ia memberi tekanan buat saya yang inginkan hasil terbaik bagi keseluruhan filem ini.

"Sehinggakan, terdapat sebuah babak dimana pelakon utamanya Beto Kusyairy dikehendaki membasuh rambut Lisa Surihani di bilik air. Entah kenapa, saya rasa babak itu kurang memuaskan dan bagi menghilangkan tekanan, saya berjoging selama sejam.

"Kemudian, saya terus mendapat idea baru dan hasilnya, babak itu benar-benar memuaskan hati saya," katanya.

Tambah pengarah filem Gol & Gincu dan Pisau Cukur itu, dia juga bersyukur kerana mempunyai barisan pelakon yang sangat komited dalam kerja masing-masing.

Dalam pada itu, walaupun agak tertekan sepanjang penggambaran filem terbitan Grand Brilliance dan Red Film diadakan, namun Bernard mengakui keunikan bandar Istanbul serta budaya masyarakat yang pelbagai membuatkan dia sangat berpuas hati sepanjang berada di sana.

"Saya akui bahawa panorama bandar Istanbul juga antara daya penarik utama Istanbul Aku Datang dan belum ada lagi filem tempatan yang memiliki latar belakang seperti filem ini.

"Dan untuk meyakinkan diri bahawa Turki adalah negara yang terbaik untuk filem ini, saya telah ke negara itu sebanyak lima kali dalam tempoh masa sembilan bulan.

"Di sana, saya cuba belajar dan serasikan diri dengan budaya masyarakat di sana yang mengamalkan cara kehidupan yang berbeza mengikut tempat-tempat tertentu," ujarnya.

Sementara itu, Istanbul Aku Datang yang ditulis oleh penulis skrip, Rafidah Abdullah mengisahkan tentang seorang gadis bernama Dian lakonan Lisa Surihani sanggup ke Istanbul untuk berada dekat kepada kekasihnya, Azad (Tomok), pelajar jurusan kedoktoran di sebuah universiti di sana.

Dalam diam, niat Dian yang juga seorang penulis blog mengimpikan sebuah perkahwinan bersama Azad, namun ia tidak seperti yang dibayangkannya.

Pertemuan dengan seorang pelukis bernama Haris (Beto) yang pada mulanya memberi ketegangan bagaimanapun berubah kepada keserasian.

Filem yang turut dibarisi penyanyi Aizat bakal menemui penonton mulai 8 November ini.

Artikel Lain