suria

Penganjuran FFM25 Tidak Akan Ditangguh

Naguib Razak
Naguib Razak
Naguib Razak

PETALING JAYA: Desas-desus yang menyatakan Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25) tidak akan dianjurkan adalah tidak benar kerana ia akan adakan pada penghujung tahun ini.

Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Naguib Razak menjelaskan, kelewatan acara itu adalah disebabkan terdapat pelbagai anugerah yang berterusan seperti Anugerah Blokbuster (6 Oktober lalu) dan Anugerah Skrin pada November ini.

Sehubungan itu kata beliau pihaknya mengambil pendekatan untuk memilih tarikh yang tidak bertindih dengan mana-mana acara hiburan lain.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, FFM masih lagi dianjurkan sebagai acara tahunan dan pihak kami tidak pernah berhasrat untuk menangguhkan acara itu tanpa sebab.

"Lagipun, pelbagai acara anugerah yang dianjurkan sejak kebelakangan ini, jadi biarlah FFM membuat persediaan dan semak semula secara rapi agar penganjurannya lebih teliti," katanya yang dihubungi mStar Online, dekat sini, Jumaat.

Tambah Naguib, pihaknya bakal mengadakan sidang akhbar berhubung penganjuran FFM25 pada Jumaat depan dan akan menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan kelewatan penganjuran acara tersebut.

Sementara itu, Naguib berkata penganjuran FFM25 kali ini akan lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana terdapat sebanyak 71 filem yang ditayangkan pada tahun ini berbanding 42 buah filem pada tahun lalu.

"Sekarang ini, pihak kami membuat beberapa analisis, bukan mudah untuk memilih yang terbaik kerana pengeluaran filem pada tahun ini jauh lebih besar jumlahnya berbanding tahun lalu.

"Bagaimanapun, saya percaya ia akan menjadi sebuah acara tahunan yang sangat meriah tambahan pula cara pengadilannya akan jadi lebih sukar untuk memilih yang terbaik.

"Insya-Allah, walaupun penganjurannya sedikit lewat, FFM25 akan menjadi festival terbaik, tidak sama dengan penganjuran sebelumnya," ujarnya.

Pada tahun lalu, filem Hikayat Merong Mahawangsa arahan Yusry Abdul Halim diangkat sebagai filem terbaik FFM24 yang dianjurkan pada 21 November 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Artikel Berikut

Artikel Lain