suria

Hassan (Imam Muda) Mahu Jadi Pelakon

Imam Muda Hassan. Foto RAJA FAISAL HISHAN
Imam Muda Hassan. Foto RAJA FAISAL HISHAN
Imam Muda Hassan. Foto RAJA FAISAL HISHAN

PETALING JAYA: Imam muda (IM) Hassan mencabar dirinya apabila berhasrat mahu menceburkan diri dalam bidang lakonan kerana mahu melihat kemampuan bakatnya itu.

Hassan atau nama sebenarnya Mohd Hassan Adli Yahaya, 27, berkata, dia ingin berdakwah dengan pendekatan berbeza menerusi watak-watak yang memperjuangkan agama Islam.

"Dalam dunia ini, macam-macam cara kita boleh berdakwah dan saya ingin cuba berlakon untuk mengembangkan dakwah saya menerusi lakonan yang ditonton oleh masyarakat Islam.

"Lagipun, saya tidak mempunyai masalah untuk mencuba kerana saya sukakan cabaran walaupun tidak pernah berpengalaman dalam dunia seni lakonan," katanya.

Bagaimanapun, graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu (al-Quran dan Hadis), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini menambah, dia tidak akan menerima sebarang watak cinta walaupun tidak memerlukannya bersentuhan tangan.

Sementara itu, Hassan kini muncul dengan sebuah album Doa Haji & Umrah yang memuatkan bacaan doa, koleksi niat ibadah Haji & Umrah, serta bacaan ayat suci Al-Quran.

Tampil dengan konsep istimewa alunan berlagu dilihat sebagai cara terbaik untuk menjadikan album ini sebagai panduan terbaik kepada yang ingin menunaikan ibadah Haji dan Umrah.

"Bukan mudah untuk seseorang itu berdakwah kerana tidak semua orang boleh menerima nasihat dan pandangan yang diberi terutamanya daripada orang muda seperti saya. Tetapi Alhamdulillah, ada yang menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka.

"Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk muncul dengan album doa bagi golongan yang ingin menunaikan ke Tanah Suci. Ia adalah permulaan saya untuk perkenalkan diri pada semua," ujarnya.

Antara doa-doa yang terdapat dalam album ini adalah, Doa Menuju Hajarul Aswad, Doa Dibaca Di Multazam, Doa Minum Air Zam-Zam, Doa di Makam Ibrahim dan Doa di Arafah.

Untuk pertanyaan mengenai album berkenaan boleh menghubungi pejabat urusan UNICDOTMY di talian +603-6186 4300 / +6019-428 9986 atau e-mel ke [email protected].

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain