suria

Sazzy Falak Rasa Puas Terjun Menara Macau

Sazzy Falak
Sazzy Falak
Sazzy Falak

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Shazzy Falak berasa puas apabila dapat melakukan terjunan di Menara Macau pada ketinggian 233 meter semasa penggambaran program Destinasi Cinta Bersama AirAsia baru-baru ini.

Sazzy, 31, berkata, dia telah lama memasang hasrat untuk membuat lompatan di menara itu yang juga terkenal sebagai lokasi “skyjump” kedua tertinggi di dunia selepas Stratosphere Skyjump di Las Vegas, Amerika Syarikat.

"Saya memang telah lama berhasrat untuk membuat terjunan di Menara Macau kerana saya memang gemarkan aktiviti lasak seperti itu. Peluang yang diberikan memang tidak saya lepaskan begitu sahaja.

"Tambahan pula saya memang tiada masalah dengan ketinggian membuatkan aktiviti itu sesuatu yang menyeronokkan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Sazzy, suaminya, Nazril Idrus, 38, turut melakukan terjunan itu walaupun mempunyai sedikit perasaan gayat.

Aksi Sazzy itu dapat dilihat dalam program Destinasi Cinta Bersama AirAsia yang bakal bersiaran di Astro Ria bermula 17 Oktober depan.

Ia akan bersiaran pada setiap hari Rabu pada pukul 10 malam.

Menceritakan pengalaman melakukan terjunan itu, Sazzy berkata, peserta hanya perlu berdiri di hujung platform dengan kedua-dua kaki terikat.

Katanya, debaran melakukan “skyjump” itu nyata memberikan cabaran luar biasa dan kepuasan akan terasa apabila semuanya selesai.

"Debaran itu memang ada tetapi terjunan yang hanya memakan masa 60 saat itu sangat menyeronokkan selain dapat menikmati pemandangan kota Macau yang menakjubkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Sazzy memberitahu dia dan suami gembira dapat menghabiskan masa bersama-sama selepas sibuk melayan karenah dua anak kembar mereka iaitu Iman Lilly dan Tiara Rose.

Dia juga sudah bersedia untuk kembali ke pentas lakonan selepas hampir dua tahun menyepi daripada sebarang aktiviti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain