suria

Rosnah Mat Aris Masak Sendiri Juadah Hari Raya

Rosnah Mat Aris
Rosnah Mat Aris
Rosnah Mat Aris

PETALING JAYA: Pelakon Rosnah Mat Aris gembira apabila sambutan Aidilfitri diraikan dengan pelbagai juadah menarik yang dimasak sendiri khas buat keluarganya.

Rosnah, 57, berkata, kesibukannya di dapur yang turut dibantu ahli keluarga lain biasanya bermula sehari sebelum sambutan Hari Raya supaya keadaan tidak menjadi sibuk apabila menjelangnya 1 Syawal.

"Setiap tahun, saya akan memasak pelbagai jenis masakan bersama ahli keluarga lain. Saya percaya bila-bila masa saja pasti ramai saudara mara yang akan berkunjung sehinggakan buat saya risau jika makanan tidak cukup.

"Bagaimanapun, masakan saya lebih kepada menu kegemaran suami (Tajul Efendie Isa atau Blue) seperti masak lemak sotong atau kerang. Lebih mudah, saya dapat layan suami dan keluarga sekali gus," selorohnya.

Tambah Rosnah, sepanjang bergelar isteri kepada Blue, mereka lebih senang mengamalkan konsep kesederhanaan dalam apa jua sambutan asalkan dapat berjumpa dengan keluarga.

Malah, sambutan Aidilfitri di kampung suaminya di Melaka juga cukup sederhana tetapi ia akan menjadi meriah dengan kehadiran sanak saudara.

"Apabila dah berusia begini, yang lebih merasai keseronokan beraya adalah kanak-kanak. Jadi kami yang dewasa ini sekadar menjadi 'penonton' melihat keterujaan kanak-kanak yang beria-ia mengumpul duit raya.

"Lagipun, menyambut secara kesederhanaan amat digalakkan agar tidak berlakunya sebarang pembaziran. Seronok juga beraya di rumah keluarga suami. Mereka seronok apabila mendapat tahu kehadiran saya ke Melaka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain