suria

Hans Isaac Terkilan Tidak Kahwin Sebelum Ibu Meninggal Dunia

Hans Isaac
Hans Isaac
Hans Isaac

PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit filem Hans Isaac terkilan kerana tidak dapat menunaikan impian ibunya, Carmina Anciano Isaac, 74, yang ingin melihat dia berkahwin apabila ibunya meninggal dunia pada Isnin.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 41, berkata, ibunya sempat memberikan pelbagai pesanan dan nasihat mengenai hal-hal perkahwinan kepadanya beberapa minggu sebelum pemergiannya.

"Sedih juga kerana ibu tidak dapat melihat saya berkahwin. Memandangkan saya kerap pulang ke rumah menjaganya, sempat juga dia beri macam-macam nasihat.

"Malah dalam keadaan sakit, dia tetap risau dengan keadaan keluarga dan rakan-rakannya. Kalau nak tahu, mendiang ibu merupakan seorang yang sangat prihatin dengan orang sekelilingnya," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Carmina meninggal dunia di kediamannya di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, dekat kira-kira pukul 8.35 pagi akibat kanser paru-paru dan otak yang dialaminya sejak dua tahun lalu.

Mendiang akan dibawa ke gereja St. John, Bukit Nanas pada Rabu (esok) pukul 10.30 pagi bagi penghormatan terakhir sebelum upacara pembakaran akan dilaksanakan pada Khamis ini.

Beritahu Hans, selepas selesai menguruskan pengebumian ibunya, dia akan berangkat ke Zurich, Switzerland pada minggu depan bagi menunaikan hajat mendiang untuk melakukan sesuatu di sana.

"Minggu depan, saya akan ke Zurich selama 10 hari bagi menunaikan hajat ibu dan selain itu saya ingin tenangkan fikiran di sana.

"Saya sangat sedih dengan pemergiannya. Tetapi, ketika dia tenat sebelum ini, perasaan saya berbelah bahagi di mana saya rela dia pergi kerana tidak sanggup melihat penderitaannya tetapi saya agak berat untuk kehilangannya.

"Masih lagi teringat, setiap kali dibelenggu masalah, ibu saya dah dapat kesan sebelum saya masuk ke rumah lagi. Kemudian dia akan menghidangkan makanan dan duduk bersebelahan dengan saya tanpa bertanyakan sebarang soalan," ujarnya sebak.

Artikel Lain