suria

Prism Berhad Terus Kutip Royalti Artis

Sebilangan artis tanah air yang menjadi ahli Prism Berhad mengangkat sumpah setia dalam memperjuangkan hak sama rata pelaku menerusi Artikel 15 (1) & (2) WPPT pada majlis pengagihan royalti 2011 di Restoran Seri Melayu di sini, malam Rabu. - Foto oleh FAIHAN GHANI
Sebilangan artis tanah air yang menjadi ahli Prism Berhad mengangkat sumpah setia dalam memperjuangkan hak sama rata pelaku menerusi Artikel 15 (1) & (2) WPPT pada majlis pengagihan royalti 2011 di Restoran Seri Melayu di sini, malam Rabu. - Foto oleh FAIHAN GHANI
Sebilangan artis tanah air yang menjadi ahli Prism Berhad mengangkat sumpah setia dalam memperjuangkan hak sama rata pelaku menerusi Artikel 15 (1) & (2) WPPT pada majlis pengagihan royalti 2011 di Restoran Seri Melayu di sini, malam Rabu. - Foto oleh FAIHAN GHANI

KUALA LUMPUR: Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) yang baru ditubuhkan bagi menggantikan Prism Sdn Bhd berharap mendapat sokongan semua artis sebagai pengutip royalti pelaku (ahli-ahli) seperti yang diamalkan sejak lapan tahun lalu.

Bekas Pengerusi Prism Sdn Bhd Datuk Aziz Bakar berkata, Prism Berhad yang baru ditubuhkan bertujuan memperkemas sistem agihan royalti pelaku agar bersesuaian dengan tuntutan masa kini bagi melindungi kepentingan para pelaku di negara ini.

“Perancangan (pembubaran Prism Sdn Bhd) yang sudah dua tahun dirancang ini adalah tepat pada waktunya. Sudah tiba masanya, pengurusan ini diambil alih satu badan atau entiti yang bebas melaksanakan amanah ahli-ahlinya dengan penuh integriti, telus dan demokratik.

“Pembubaran Prism Sdn Bhd bukan bermakna kita mahu melarikan diri daripada tanggungjawab terhadap ahli-ahli Prism tetapi bagi menstrukturkan semula sistem dan mekanisme agihan royalti pelaku yang bersesuaian dengan waktu ini. Justeru, saya berharap usaha ini mendapat sokongan semua pelaku tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian royalti kali kelapan bagi 2011 dan berbuka puasa badan itu di Restoran Seri Melayu di sini, malam Rabu. Pada majlis itu, sejumlah RM4,000,050 wang diagihkan kepada 1,306 ahli.

Dalam pada itu, Pemangku Pengerusi Prism Berhad, Mohamed Anuar Mohd Dahalan berkata, penstrukturan baru badan itu juga berhasrat untuk meluaskan kutipan royalti kepada golongan pelakon, pelawak, penyanyi latar, penggiat kumpulan etnik dan pihak-pihak berkaitan yang tidak mendapat perlindungan hak selama ini.

“Kita berharap Prism Berhad dapat meluaskan peranan kutipan royalti kepada kumpulan pelaku lain tanah air yang selama ini terabai seperti pelakon, pelawak, penari dan penggiat kumpulan etnik.

“Prism mahu melindungi semua pihak untuk mendapatkan hak mereka, maka sokongan semua pihak amat penting bagi membolehkan usaha ini dilaksanakan secepat mungkin,” katanya yang turut merancang untuk memperluaskan agihan royalti pada bidang pengiklanan komersial pada masa akan datang.

Mengenai status hak mengutip royalti pelaku bagi 2012, Mohamed Dahlan berkata, pihaknya akan berusaha untuk menuntut semula hak berkenaan yang sudah tujuh bulan terbengkalai susulan keputusan pembubaran Prism Sdn Bhd pada awal tahun ini.

“Kita akan berusaha untuk mendapatkan semula hak mengutip royalti yang terlepas bagi tujuh bulan pertama tahun ini kerana keputusan pembubaran Prism Sdn Bhd.

“Ini kerana Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) yang mahu ditubuhkan sebagai ganti peranan Prism sebelum ini pun masih diragui kredibilitinya,” katanya.

Pada majlis malam Rabu, Prism Sdn Bhd mengesahkan pembubarannya selepas mengagihkan royalti ahli-ahlinya sepanjang 2011 kepada 1,306 orang.

Majlis turut meneruskan tuntutan hak sama rata pelaku tanah air dalam Artikel 15 (1) & (2) Perjanjian Persembahan & Rakaman Bunyi WIPO (WPPT) kepada pihak kerajaan.

Prism Sdn Bhd pada mualanya ditubuhkan selepas pindaan Akta Hak Cipta 2000 pada tahun 2001 di bawah Akta Syarikat 1965.

Artikel Lain