suria

Mariah Carey Sah Sertai American Idol Ke-12

Mariah Carey mengesahkan bakal menyertai American Idol sebagai juri.
Mariah Carey mengesahkan bakal menyertai American Idol sebagai juri.
Mariah Carey mengesahkan bakal menyertai American Idol sebagai juri.

DIVA terkenal Mariah Carey akhirnya bersetuju untuk menduduki kerusi juri American Idol selepas beberapa kali menolak tawaran daripada pihak produksi program itu.

Rangkaian stesen FOX mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan akhbar pada Isnin dan memberitahu Mariah akan muncul pada musim ke-12 program popular itu yang akan bermula Januari tahun hadapan.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu seperti Hero, My All dan We Belong Together tersebut dilaporkan dibayar RM35 juta (USD12 juta) dan akan bergandingan dengan Randy Jackson dan seorang lagi juri yang masih belum diumumkan.

Sebelum ini, penyanyi Jenifer Lopez dan Steven Tyler nekad meninggalkan program berkenaan kerana ingin memberi fokus kepada perkara lain.

Dalam pada itu, Mariah turut mengesahkan mengenai berita itu menerusi satu panggilan telefon yang dibuat oleh Ketua Persatuan Pengkritik Televisyen FOX, Kevin Reilly.

"Ya benar saya akan menyertai American Idol dan tidak sabar untuk memulakan tugas sebagai juri program itu," kata Mariah menerusi perbualan singkat dalam satu mesyuarat produksi.

Tambah Mariah, sebagai penerbit, penulis lagu dan penyanyi beliau berharap dapat mencari bakat-bakat baru yang dapat diketengahkan sebagai penghibur terkenal.

"Ia akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan diharap kehadiran saya akan membantu dalam mencari penyanyi yang baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Kevin memberitahu, Mariah adalah juri paling berpengaruh yang pernah menyertai program itu dan ia akan menjadi satu sejarah buat American Idol.

"Mariah mempunyai reputasi yang sangat besar sebagai seorang penerbit, penulis lagu dan penyanyi. Kehadirannya sebagai juri akan menjadi satu sejarah," katanya.

Mariah, 42, pemenang lima kali Anugerah Grammy pernah diberikan Anugerah Pencapaian oleh American Music Awards dan ia hanya pernah diberikan kepada Michael Jackson sebelum ini.

Beliau turut dinamakan sebagai Artis of the Decade oleh Billboard dan The Best Selling Artist of All Time oleh World Music Awards.

Selain itu, albumnya terjual lebih 200 juta unit di seluruh dunia selain 18 singlenya menduduki tangga pertama carta Billboard dan dilihat sebagai artis berpotensi untuk memecah rekod kumpulan The Beatles yang mempunyai 20 lagi di tangga pertama.

Bakal muncul dengan album baru, Mariah turut memberitahu lagu terbarunya berjudul Triumphant akan dilancarkan pada awal Ogos.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain