suria

RTM Bakal Lantik Syarikat Pengurusan Urus Bakat

Mokhzani yakin dengan bakat-bakat yang dikeluarkan oleh RTM.
Mokhzani yakin dengan bakat-bakat yang dikeluarkan oleh RTM.
Mokhzani yakin dengan bakat-bakat yang dikeluarkan oleh RTM.

PETALING JAYA: Masa depan bintang yang lahir daripada program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal terbela apabila stesen itu merancang untuk melantik sebuah syarikat pengurusan bagi menguruskan kerjaya seni mereka pada masa hadapan.

Pengarah Program TV dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail berkata, perancangan itu dibuat apabila pihaknya menyedari banyak bakat daripada stesen milik kerajaan itu terabai walaupun mempunyai bakat yang cukup besar.

"Setakat ini ia masih di peringkat perancangan sahaja kerana sebagai sebuah stesen kerajaan banyak perkara kita perlu pertimbangkan dan perlu memastikan syarikat yang bakal dilantik itu bukan sahaja mengejar keuntungan semata-mata sebaliknya serius dalam memastikan produk keluaran RTM dapat menembusi pasaran lebih luas," katanya kepada mStar Online.

Mokhzani optimis dengan rancangan tersebut dan berharap ia akan terlaksana demi memastikan perjalanan karier bakat-bakat daripada RTM berjalan dengan baik.

"Kalau dulu belum lagi sesebuah pertandingan habis berpusu-pusu syarikat rakaman beratur di belakang pentas berebutkan peserta-peserta yang masuk bertanding seperti mana yang berlaku kepada Jamal Abdillah, Allahyarham Sudirman, Ramlah Ram, Juliza Adlizan dan sebagainya.

"Tetapi keadaan kini berbeza kerana lambakan artis yang muncul daripada pelbagai program realiti sehingga yang benar-benar bagus cuma boleh dikira dengan jari," katanya.

Dalam pada itu, Mokhzani berkata, syarikat pengurusan itu nanti bukan sahaja akan mengurus bakat dari program nyanyian sahaja tetapi secara keseluruhannya termasuklah program-program yang diterbitkan oleh RTM.

"Ia merangkumi penyanyi, pelakon dan pengacara asalkan mereka lahir daripada program pencarian bakat kelolaan RTM," katanya.

Sementara itu, Mokhzani berkata, buat permulaan, enam peserta akhir daripada program Bintang RTM (BRTM 2012) akan diberikan lagu baru sebagai pengenalan mereka dalam industri hiburan.

Mokhzani memberitahu, RTM juga akan cuba membantu mereka menempatkan diri dalam industri dengan menyusun pelbagai program pada masa hadapan.

Kesemua single terbaru keenam-enam peserta akhir BRTM 2012 itu telah pun disiarkan di seluruh stesen radio milik RTM bermula Isnin lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain