suria

Sikap Iri Hati Punca Kenyataan Ahmad Idham Dipersendakan

Ahmad Idham
Ahmad Idham
Ahmad Idham

PETALING JAYA: Pengarah dan produser filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata sikap iri hati dan tidak memahami perkara sebenar menjadi punca kenyataannya berhubung kutipan filem Mael Lambong sebagai satu fenomena di sebuah akhbar baru-baru ini dipersendakan pihak tertentu.

Ahmad Idham berkata, kenyataannya yang menganggap kutipan filem sebanyak RM4.5 juta itu sebagai satu fenomena sejak ditayangkan 21 Jun lalu, bertujuan untuk meyakinkan masyarakat bahawa industri filem tanah air belum ‘lumpuh’ seperti didakwa segelintir pihak ekoran trend kutipan kebanyakan filem tempatan yang merudum pada tahun ini.

“Saya tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bercakap kosong apabila mengeluarkan kenyataan kutipan filem saya adalah satu fenomena di akhbar tersebut.

“Ia bagi meyakinkan peminat filem Melayu bahawa industri kita masih mampu mencapai kutipan yang baik pada waktu ini seperti filem saya dan Syamsul Yusof iaitu Bohsia 2, di kala majoriti filem Melayu lain kurang berjaya.

“Pihak yang memperlekehkan kenyataan saya itu tidak faham tujuan saya berkata demikian atau mungkin mereka kurang senang dengan saya secara peribadi,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Ahmad Idham berkata, istilah ‘fenomena’ yang digunakan kepada Mael Lambong dan Bohsia 2 menggambarkan pencapaian dua filem itu mampu mendapat kutipan yang baik walaupun setiap filem Melayu perlu bersaing sengit sejak sistem tayangan dua filem seminggu diperkenalkan 24 Mei lalu.

“Itu yang pihak tertentu tidak faham dengan apa yang saya maksudkan pada istilah ‘fenomena’. Jangan bandingkan kutipan pecah panggung filem-filem yang ditayangkan pada tahun lepas dengan tahun ini. Ketika itu, filem-filem kurang persaingan di bawah skim tayangan lama.

“Kita bercakap mengenai konteks kutipan filem dalam era skim tayangan baru ini. Jika diperhatikan sejak 24 Mei lalu apabila dua filem ditayangkan seminggu, majoriti filem kita gagal meraih kutipan yang baik. Sebab itu, saya sifatkan dua filem ini sebagai ‘fenomena’ dan penyuntik semangat kepada industri yang sedang tenat ini,” katanya.

Mengulas mengenai kutipan terkini Mael Lambong, Ahmad Idham berkata, dia percaya dan berharap filem genre komedi aksi itu mampu menarik lebih ramai penonton pada minggu kedua tayangannya.

“Saya akui bukan mudah untuk Mael Lambong terus mendapat kutipan yang mendadak sebagaimana minggu pertama. Tetapi permintaan terhadap filem ini masih konsisten di kalangan penonton.

“Saya yakin ia mampu mencecah RM5 juta jika tempoh tayangan dilanjutkan kerana reaksi peminat di laman sosial membuktikan masih ramai yang belum berkesempatan untuk menonton,” katanya.

Filem terbitan Excellent Pictures itu dibintangi antaranya Zizan Razak, Juliana Evans, Taiyudin Bakar dan Shenthy Feliziana.

Artikel Lain