suria

Karyawan Mahu Berdamai Dengan Aziz Sattar

Freddie Fernandez
Freddie Fernandez
Freddie Fernandez

PETALING JAYA: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengalu-alukan penyertaan semula bekas ahli jawatankuasa (AJK) iaitu pelakon veteran Datuk Aziz Sattar dalam persatuan itu sebagai tanda berdamai terhadap konflik yang pernah tercetus sebelum ini.

Presidennya Datuk Freddie Fernandez berkata, Karyawan mahu berdamai dan menyelesaikan kemelut antara mereka sejak dia dan pelakon itu bermasam muka selepas keahlian Aziz dipecat kerana mendakwa berlaku penyelewangan wang dalam persatuan itu pada 2008.

“Menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Karyawan ke-13 pada Jumaat lalu, kami memutuskan untuk menerima semula keahlian Datuk Aziz dalam Karyawan. Isu yang pernah berlaku sebelum ini harus diketepikan dan saya anggap ia sudah berlalu.

“Undang-undang juga sudah membuktikan dakwaan itu tidak berasas, kes sudah selesai dan ditutup. Kami berbesar hati untuk mempelawa Datuk Aziz kembali kepada persatuan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, Ahad.

Freddie berkata, dia sudah berhasrat untuk bertemu dengan Aziz secara peribadi sebagai tanda berdamai tetapi ia terpaksa ditangguhkan apabila pelakon itu dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung pada 23 Jun lalu.

“Perkara ini (berdamai) sudah lama kami bincangkan. Datuk Sarimah Ahmad sebagai Pengerusi Kehormat persatuan dan Datuk Julie Sudiro juga mengalu-alukan hasrat itu.

“Buat masa ini, kami menggunakan budi bicara pelakon Kuswadinata sebagai orang tengah bagi mengemukakan hasrat Karyawan kerana mereka datang dari era yang sama dan lebih sesuai bercerita bersama.

“Apabila Datuk Aziz sudah sembuh nanti dan jika dia bersetuju dengan hasrat kami, barulah kami akan umumkan berita baik ini secara rasmi kemudian,” katanya.

Ditanya mengenai AGM 13 yang berlangsung secara tertutup di sebuah hotel dekat sini pada Jumaat lalu, Freddie berkata, Karyawan membentangkan empat usul termasuklah hasrat untuk menerima semula keahlian pelakon veteran tersebut.

“Selain isu keahlian semula Datuk Aziz, tiga lagi usul yang dibincangkan adalah penubuhan AJK khas bagi mengkaji kadar bayaran minimum yang perlu dibayar oleh penerbit kepada penggiat seni.

“Kita juga mengusulkan sokongan penuh kepada penubuhan Badan Penggiat Seni Muzik Rakaman Malaysia (RPM) dan memaklumkan kepada ahli-ahli mengenai geran-geran kerajaan menerusi Dasar Industri Kesenian Negara (DIKN) pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain