suria

Johnny Depp Akhirnya Berpisah Dengan Vanessa Paradis

Johnny Depp (kiri) bersama Vanessa Paradis.
Johnny Depp (kiri) bersama Vanessa Paradis.
Johnny Depp (kiri) bersama Vanessa Paradis.

SUPERSTAR HOLLYWOOD, Johnny Depp telah berpisah dengan kekasihnya Vanessa Paradis selepas 14 tahun bersama.

Akhbar UK, The Sun melaporkan, perpisahan itu berlaku di saat pelakon The Pirates of the Caribbean berusia 49 tahun itu dikaitkan dengan heroin filem terbarunya The Rum Diary, Amber Heard, 26, pada April lalu.

The Sun memetik sumber-sumber terdekat dengan kedua-dua pelakon itu sebagai berkata, Depp dan Vanessa cuba untuk mempertahankan hubungan mereka dengan berpindah dari kediaman rasmi mereka di Selatan Perancis ke Los Angeles bersama-sama dua orang anak mereka, Lily-Rose, 13, dan Jack, 10.

Ini juga bagi membolehkan Depp memberikan tumpuan secara khusus kepada kariernya dan pada masa yang sama tidak berpisah begitu lama dengan Vanessa.

Malangnya dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, Vanessa sibuk dengan haluannya sebagai penyanyi dan juga pelakon manakala Depp menjadi Kapten Jack Sparrow.

Januari lalu, Depp dan Vanessa didapati telah tinggal di hotel yang berasingan ketika mereka bersama-sama berada di Los Angeles sehingga mencetuskan khabar angin mengenai pergolakan hubungan mereka.

Mereka bagaimanapun menafikan sebarang keretakan tetapi sejak itu tidak lagi kelihatan bersama termasuklah dalam mana-mana majlis karpet merah.

Paling ketara ialah apabila Vanessa, 39, tidak kelihatan pada majlis meraikan hari jadi anak mereka Jack di Los Angeles pada April lalu.

Pada masa yang sama, Depp dilihat sering bersama Amber termasuk dalam satu majlis di Las Vegas awal tahun ini selepas selesai membintangi sebuah lagi filem baru berjudul Dark Shadows malah mereka kelihatan menaiki jet peribadi Depp.

Hubungan sulit antara Deep dan Amber bermula apabila mereka kelihatan sangat intim ketika di set filem The Rum Diary di Puerto Rico pada tahun 2009.

Depp dan pasangannya Paradis pula bertemu di Paris pada 1998 apabila dia melihat pelakon kelahiran Perancis itu sedang duduk minum di sebuah bar di Hotel Costes dan kemudian menjemputnya untuk duduk semeja.

Kedua-duanya kemudian menjadi sahabat baik dan berpindah ke Le Plan-de-la-Tour, iaitu sebuah perkampungan kecil di Selatan Perancis.

Bagaimanapun apabila kerjaya Depp semakin meningkat dan dia terpaksa menghabiskan begitu banyak masa di Hollywood, hubungan mereka menjadi semakin dingin walaupun telah dikurniakan dua orang cahaya mata.

Populariti Depp memuncak mulai tahun 2003 menerusi filem Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl.

Pada masa yang sama Vanessa banyak berkorban untuk menjaga anak-anak mereka. Kedua-dua pasangan itu tidak pernah berkahwin secara rasmi.

Sementara itu, Pengarang Hiburan The Sun, GORDON SMART menulis, selepas berbulan-bulan kedua-dua pasangan ini menafikan keretakan dalam perhubungan mereka, akhirnya kebenaran menjelma juga.

Katanya, adalah menjadi rahsia terbuka di kalangan penggiat dunia hiburan bahawa Johnny Depp dan Vanessa telah tinggal berasingan sejak beberapa bulan dahulu.

Ini berlaku di sebalik penafian demi penafian yang dilakukan oleh Depp termasuk yang terbaru bulan lalu.

Bagaimanapun Smart memuji sikap Depp dan Vanessa sebagai ibu-bapa kepada kedua-dua anak mereka dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen yang memburukkan satu sama lain demi masa depan anak mereka. Tetapi menurut Smart dunia hiburan telah mula menghidu sesuatu tentang hubungan dingin Depp dan Vanessa apabila mereka tidak lagi muncul bersama dalam banyak majlis rasmi atau parti yang dianjurkan oleh Depp sendiri kepada rakan-rakannya.

Depp juga katanya telah membina sebuah rumah baru dan studio baru untuk merakamkan sebuah album rock ’n’ roll.

Artikel Lain