suria

Larry Hagman Kembali Dalam ‘Dallas’ Selepas 20 Tahun Berehat

Larry Hagman
Larry Hagman
Larry Hagman

AKTOR veteran Larry Martin Hagman yang sinonim dengan siri televisyen popular Dallas kembali menggalas watak J.R. Ewing selepas 20 tahun siri itu berakhir.

Hagman yang kini berusia 80 tahun berkata dia mampu untuk terlibat dalam siri itu untuk tempoh 10 tahun lagi.

Pada musim terbaru ini, Hagman ditemani semula dua pelakon asal iaitu Linda Gray sebagai Sue Ellen dan Patrick Duffy (Bobby Ewing).

Aktor muda daripada siri Desperate Housewives, Jesse Metcalfe pula membawa watak Christopher Ewing dan Josh Henderson sebagai John Ross Ewing III yang saling berbalahan seperti versi asal siri itu.

Aktres filem Fast And Furious, Jordana Brewster pula muncul sebagai Elena Ramos.

Hagman yang disahkan menghidap kanser itu berkata, dia mahu terus berlakon untuk 10 tahun lagi.

“Pelakon tidak boleh bersara. Jika saya mampu bertahan untuk 10 tahun lagi, saya akan berusia 90 tahun ketika itu,”

Ditanya jika dia masih mampu menggalas watak itu bagi 10 tahun akan datang, dia membalas: “Sudah tentu saya mampu!”

Bagaimanapun, katanya dia hanya dapat bekerja untuk separuh hari saja pada usia begini.

“Mereka (produksi) sangat baik terhadap saya. Saya hanya bekerjasama ada pada sebelah pagi atau tengah hari. Saya tidak mampu berlakon selama 10 jam sehari pada usia begini.”

Hagman berkata, pengalaman bergabung semula dengan pelakon-pelakon asal siri itu menggembirakannya tetapi dia lebih teruja kerana dapat mengenali dua aktor muda iaitu Josh Henderson sebagai anaknya John Ross dan Jesse Metcalfe sebagai Christopher Ewing.

“Dia (Henderson) adalah anak muda yang hebat. Pada awalnya, saya tidak pasti siapa yang menjadi pilihan produksi untuk dua watak anak itu. Kedua-dua mereka sangat disenangi dan mudah untuk bekerjasama. Mereka berpengalaman dan tidak perlu tunjuk ajar.”

Bercerita lanjut, Hagman berkata dia tidak pernah putus hubungan dengan dua pelakon asal siri itu sejak ia berakhir pada 1991.

“Saya amat gembira kerana dapat bekerja semula dengan individu-individu yang saya sayangi iaitu Linda Gray dan Patrick Duffy.

“Sebelum ini, saya bertemu dengan mereka sekali-sekala di California selepas siri itu berakhir tetapi kini kami berjumpa di lokasi penggambaran pada setiap hari. Ia adalah pengalaman yang indah dan saya menyukainya.”

Dallas kini sedang ditayangkan di Amerika Syarikat dan ia mendapat respons memberangsangkan dengan purata 6.8 juta penonton pada episod pertama.

Siri itu mencatatkan rating tertinggi bagi saluran kabel, TNT pada tahun ini. - THE SUN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain