suria

Penerbit Kagum Dengan Krew 'Deejavu Di Kinabalu'

Tiz Zaqyah dan Aqasha teraju utama Deejavu Di Kinabalu.
Tiz Zaqyah dan Aqasha teraju utama Deejavu Di Kinabalu.
Tiz Zaqyah dan Aqasha teraju utama Deejavu Di Kinabalu.

PETALING JAYA: Penerbit ekskutif drama Deejavu Di Kinabalu iaitu Zetty Alia Ramly terharu dengan kerjasama dan pengorbanan semua pelakon, pengarah dan krew penerbitan drama bersiri tersebut yang terpaksa mendaki Gunung Kinabalu dalam menjayakan siri terbaru itu.

Zetty berkata, ia bukan sesuatu perkara yang mudah bagi menjayakan penggambaran di puncak tertinggi Asia Tenggara itu namun menghormati kesungguhan ke semua krew yang terlibat.

"Bayangkan mereka semua mendaki tanpa sebarang latihan intensif sebagai persediaan dan kesabaran dan kesungguhan mereka sesuatu yang perlu dipuji," ujarnya.

Bagaimanapun kata Zetty, pihaknya bersyukur mereka berjaya sampai ke puncak dan turun dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Drama bersiri 28 episod itu bakal menggantikan drama Seindah Sakura menerusi slot Akasia mulai 18 Jun 2012, setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.

Dalam pada itu, Zetty berpuas hati dengan arahan pengarahnya iaitu Erma Fatima yang disifatkan berjaya menyampaikan jalan ceritanya dengan cukup baik.

Zetty menaruh harapan drama bersiri terbaru itu akan mendapat tempat di hati penonton apabila ia ditayangkan.

Deejavu Di Kinabalu mengisahkan mengenai kekasih Ammar, Innara yang meninggal dunia dan menderma jantungnya kepada Nadira.

Nadira yang juga pesakit jantung sangat bersyukur kerana dapat menjalani pemindahan jantung ketika nyawanya di hujung tanduk.

Takdir menemukan Ammar dengan Nadira secara tidak sengaja dan sejak itu pelbagai peristiwa menarik berlaku dalam hubungan tersebut.

Diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, Deejavu Di Kinabalu membariskan pelakon-pelakon popular tanahair seperti Aqasha, Tiz Zaqyah, Nazim Othman, Aishah Ilias, Meor Ariff, Sharifah Nadia Yusnita (Yusra), Rebecca Nur Islam dan lain-lain.

Artikel Lain