suria

Norman Hakim Anggap Normal Tak Popular Lepas Kahwin

Norman dan Memey bahagia dengan rumah tangga yang dibina. Foto NOOR AZLINA JAAFAR
Norman dan Memey bahagia dengan rumah tangga yang dibina. Foto NOOR AZLINA JAAFAR
Norman dan Memey bahagia dengan rumah tangga yang dibina. Foto NOOR AZLINA JAAFAR

PETALING JAYA: Pelakon Norman Hakim menganggap popularitinya yang semakin menurun selepas mendirikan rumah tangga dengan Memey Suhaiza pada 24 September tahun lalu adalah satu kitaran hidup normal bagi seseorang selebriti.

Norman berkata, hal tersebut juga pernah terjadi kepada perkahwinannya terdahulu dengan bekas isteri, Abby Abadi, dan ia bukanlah satu perkara yang pelik.

"Pada pendapat saya, meraih populariti adalah sebahagian daripada putaran kehidupan di mana seorang selebriti itu boleh berada di atas dan bawah pada bila-bila masa sahaja.

"Ia juga boleh dikira sebagai satu rutin dan perjalanan industri hiburan tempatan. Saya terima tentang hal itu.

"Biasalah, sebelum berkahwin, macam-macam spekulasi tentang hubungan saya dan Memey dan apabila sudah berkahwin, kiranya kontroversi dah selesai," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Norman, dia dan Memey kini lebih selesa menjalani kehidupan dengan menguruskan hal rumah tangga dan kesibukan kerjaya.

"Lagipun, kami tidak ada apa pun untuk diceritakan, melainkan menghadiri majlis-majlis yang dijemput.

"Bagaimanapun ia juga menunjukkan satu kematangan bagi kami sebagai selebriti. Yang penting kita ingat keluarga dan Tuhan, Insya-Allah, rezeki sentiasa ada.

"Dan Alhamdulillah tawaran kerja yang diterima masih lagi konsisten, tidak kurang ataupun lebih," ujarnya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Bahang Akhirat, arahan Rashid Sibir.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan Memey yang mungkin sudah berbadan dua, Norman berkata, mereka masih lagi belum mempunyai rezeki.

Dia dan Memey hanya berserah kepada Tuhan dan enggan merancang tentang kesesuaian masa bagi mendapatkan anak.

"Setakat ini kami belum ada rezeki lagi untuk memiliki anak. Sekiranya ada, sudah pasti saya akan berkongsi berita gembira ini kepada semua," katanya.

Sementara itu, Norman bakal muncul di slot Senda Pagi TV3, menerusi drama Esah Pajero yang akan disiarkan pada bulan hadapan.

Artikel Berikut

Artikel Lain