suria

Populariti Bukan Perkara Penting Bagi Zizan Nin

Zizan Nin.
Zizan Nin.
Zizan Nin.

KUALA LUMPUR: Pelakon Zizan Nin menjelaskan tidak terlalu memikirkan tentang populariti sebaliknya lebih selesa dengan kehidupan sederhana yang dilaluinya hari ini.

Zizan berkata, apa yang lebih penting dia mahu mengekalkan kerjaya lakonannya dan bukan untuk mempertahankan populariti.

"Populariti itu boleh datang dan pergi dengan sekejap tetapi untuk mengekalkan kerjaya itu adalah matlamat yang paling penting pada saya.

"Tambahan pula saya lebih selesa menjadi seorang pelakon yang sederhana dan tidak terlalu popular kerana saya tahu populariti itu boleh membunuh kerjaya saya," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Zizan berkata, dia bertuah kerana berada di bawah pengurusan Aquila Emas selama lapan tahun dan berjanji untuk terus bersama syarikat berkenaan.

"Aquila Emas menyedarkan saya bahawa industri ini adalah serius dan merupakan satu perniagaan dan bukannya untuk mengejar glamor atau populariti semata-mata.

"Mereka tahu apa yang terbaik untuk saya dan sepanjang lapan tahun bersama mereka saya tidak menghadapi sebarang masalah kerana mereka menjaga saya dengan baik," ujarnya.

Tambah Zizan, pihak Aquila Emas juga telah berjaya membawa kerjayanya kepada satu tahap lain semenjak bermula sebagai pelakon pada tahun 1999.

"Pihak pengurusan baru sahaja melantik saya sebagai penerbit eksekutif untuk sebuah drama terbitan syarikat itu dan ia sebagai satu langkah ke hadapan buat karier saya," ujarnya.

Sementara itu, Zizan bakal berangkat ke Jakarta, Indonesia pada 22 Mei depan untuk berlakon dalam sebuah telefilem terbitan produksi di negara itu.

Dalam perkembangan lain, Zizan berkata, dia bakal muncul dengan filem Untuk Tiga Hari bersama Vanidah Imran dan Ainul Aishah pada bulan depan selain menunggu filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba iaitu Tanda Putera yang bakal ditayangkan pada penghujung tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ady Putra Sah Fail Cerai

Artikel Lain