suria

Jayson Lee Mahu Lebih Peluang Terokai Filem Melayu

Jayson Lee.
Jayson Lee.
Jayson Lee.

PETALING JAYA: Pelakon dan model, Jayson Lee berharap dapat diberi lebih banyak peluang untuk berlakon dalam filem atau pun drama Melayu selepas pertama kali tampil menerusi filem Mantera yang bakal menemui penonton pada 17 Mei depan.

Jayson, 25, berkata, sudah tiba masanya untuk dia melangkah setapak lagi dalam kerjaya seninya selepas hampir dua tahun terlibat dalam industri lakonan.

"Sebelum ini saya banyak berlakon dalam drama berbahasa Cina dan ingin mengembangkan bakat dalam industri perfileman dan drama berbahasa Malaysia pula," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Jayson berkata, antara tujuan lain dia mahu terlibat dalam penerbitan drama Melayu bukanlah kerana populariti tetapi minatnya yang mendalam terhadap bidang lakonan.

Menerusi lakonan dia dapat meluahkan semua perasaan yang terbuku dan bermain dengan watak selain dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Malaysianya.

"Saya kurang fasih berbahasa Malaysia dan saya melihat medium drama Melayu adalah cukup sesuai untuk saya memperbaiki kemahiran bahasa kebangsaan itu," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam filem Mantera, Jayson berkata ia adalah pengalaman yang cukup menyeronokkan tetapi tidak mudah untuk membawa peranan komedi.

Ujar Jayson, dia bernasib baik kerana pelakon dan pengarah filem berkenaan banyak membantunya dalam membina watak dan berharap penonton akan menyukai hasil kerjanya dalam filem itu nanti.

"Tidak mudah membawa peranan komedi dalam bahasa Malaysia kerana saya tidak berapa mengetahui apa jenis lawak yang dekat dengan masyarakat Melayu.

"Bagaimanapun pengarah banyak memberi kebebasan kepada saya untuk mengolah skrip dan lawak yang ingin dipersembahkan supaya ia boleh diterima oleh semua," katanya.

Artikel Lain