suria

Super Spontan: Yasmin Hani Tersingkir Minggu Ketujuh

KUALA LUMPUR: Pertandingan minggu Ketujuh Super Spontan menyaksikan penyingkiran pelakon jelita Yasmin Hani dari kumpulan Beruang Comel pada awal program yang berlangsung pada malam Jumaat.

Pelakon itu terkeluar selepas disingkirkan oleh ahli kumpulannya menerusi undian selepas mereka tumpas kepada Angsa Ganas pada minggu lalu.

Yasmin ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka akan terkeluar pada minggu ini namun menganggap ia bukan rezekinya.

Tambah Yasmin, dirinya turut berasa terkilan kerana tidak lagi dapat beraksi dipentas Super Spontan kerana baginya ia telah meningkatkan keyakinan dirinya.

"Walaupun tersingkir, program ini telah memberi banyak pengalaman kepada saya terutamanya dalam membina keyakinan diri di atas pentas selain semangat kerjasama dalam kumpulan," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, persaingan minggu ketujuh Super Spontan berpihak kepada kumpulan Angsa Ganas apabila mereka memperoleh 55 peratus undian berbanding Beruang Comel dengan 45 peratus.

Kemenangan tersebut sekaligus memaksa Beruang Comel menyingkirkan salah seorang daripada ahli kumpulan mereka pada hujung program.

Aksi minggu ketujuh itu menyaksikan kedua-dua kumpulan mencabar kemampuan spontan mereka dalam lima pusingan permainan iaitu Freeze (Beku), Pantun Dua Kerat, Jualan Langsung, Dialog Dalam Tin dan Director Tak Siuman.

Super Spontan diacarakan oleh Adibah Noor dan turut dimeriahkan oleh Harun Salim Bachik sebagai pengulas dengan dibantu oleh Datuk AC Mizal sebagai tetamu undangan.

Amir (Raja Lawak ) pula bertindak sebagai pembantu mereka untuk berinteraksi dengan peserta dan penonton.

Wang kemenangan pasukan Angsa Ganas sebanyak RM5,000 itu disalurkan kepada Pusat Latihan Gurney untuk golongan cacat penglihatan.

Proses pemarkahan berdasarkan 100 peratus undian penonton tetapi pemilihan pemenang mingguan dan penyingkiran berdasarkan kepada suara ahli kumpulan.

Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry 2.0G.

Super Spontan menemui peminat secara langsung bermula 30 Mac lalu menerusi tiga saluran serentak iaitu Astro Warna (132), Ria (104) dan SingTel Mio TV di Singapura, setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam.

Artikel Lain