suria

Nam Ron Hanya Penggiat Bebas, Bukan Seniman Berhaluan Kiri

Nam Ron mempertaruhkan filem bebas ketiga arahannya berjudul Jalan Pintas. - Foto oleh CHAN TAK KONG
Nam Ron mempertaruhkan filem bebas ketiga arahannya berjudul Jalan Pintas. - Foto oleh CHAN TAK KONG
Nam Ron mempertaruhkan filem bebas ketiga arahannya berjudul Jalan Pintas. - Foto oleh CHAN TAK KONG

KUALA LUMPUR: Pelakon dan aktivis teater Nam Ron menyifatkan segelintir pihak yang menggelarnya ‘seniman berhaluan kiri’ dan pemberontak sebagai golongan yang dangkal dan tidak cerdik.

Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 42, berkata ia menunjukkan bahawa pihak tersebut tidak memahami maksud sebenar istilah berkenaan tetapi sewenangnya melabelkan penggiat bebas sepertinya dengan gelaran itu.

“Sebenarnya sejak dulu lagi saya sudah mendengar ada segelintir pihak memberikan gelaran (seniman berhaluan kiri dan pemberontak) itu kepada saya.

“Tahukah mereka maksud sebenar istilah ‘berhaluan kiri’ itu merujuk kepada gerakan sosialis atau komunis yang menentang sesuatu pentadbiran dan pemerintahan?

“Sedangkan saya hanya penggiat seni yang memperjuangkan karya yang berbeza daripada arus perdana,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Nam Ron berkata, selama 23 tahun dalam bidang teater, paparan dan kandungan karya bebas tersebut bukan berunsur hasutan atau ancaman kepada ketenteraman awam.

“Saya hanya memaparkan kritikan sosial dalam karya-karya arahan saya tetapi ia lahir daripada pemerhatian dan pengalaman sendiri.

“Jika pandangan yang berbeza itu disalahertikan lantas dituduh sebagai ancaman, saya rasa banyak lagi perkara besar yang berlaku dalam negara ini lebih mengancam keselamatan awam,” tegasnya.

Bercerita mengenai filem bebas ketiga arahannya iaitu Jalan Pintas, Nam Ron berkata dia sanggup menerima suntingan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) jika ia ditayangkan kepada umum kelak.

Katanya, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana terdapat penggunaan bahasa kesat dalam filem tersebut yang mungkin mengganggu ketenteraman segelintir pihak.

“Buat masa ini, Jalan Pintas hanya ditayangkan di lokasi-lokasi tertentu berdasarkan permintaan universiti-universiti atau pusat kesenian. Jadi, saya masih dapat menayangkan filem itu sepenuhnya tanpa guntingan.

“Sekiranya, ia mahu ditayangkan di pawagam-pawagam digital kepada umum pada hujung tahun ini, mahu tidak mahu saya perlu hantar kepada LPF untuk suntingan. Saya tiada masalah kalau ia perlu disunting,” hurainya.

Jalan Pintas mengisahkan sebuah cereka mengenai seorang graduan kejuruteraan bernama Bakar (Auf Razak) yang berdepan kesulitan untuk mencari pekerjaan.

Bakar yang merupakan anak lelaki tertua dalam keluarga datang ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib demi menjalankan tanggungjawab terhadap ibu dan adik perempuannya.

Ia ditayangkan bermula 2 Mei (8.30 malam) sehingga 6 Mei ini (5 petang dan 8.30 malam) di Actors Studio, Lot 10 Bukit Bintang dengan sumbangan minima RM10 bagi sebuah tayangan.

Sebelum ini, Nam Ron pernah mengarahkan dua buah filem bebas berjudul Gedebe (2003) dan Gadoh (2008).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain