suria

Ning Baizura Dibenarkan Timang Anak Selepas Dua Tahun

Ning Baizura tak sabar untuk mendapatkan anak sendiri. Foto BRAHIM MOHTAR
Ning Baizura tak sabar untuk mendapatkan anak sendiri. Foto BRAHIM MOHTAR
Ning Baizura tak sabar untuk mendapatkan anak sendiri. Foto BRAHIM MOHTAR

PETALING JAYA: Penyanyi Ning Baizura, 36, berharap tahun 2012 akan memberi sinar kepadanya dan keluarga selepas dia diberi kebenaran oleh doktor untuk berbadan dua.

Ning berkata, sejak dua tahun lalu dia tidak boleh memiliki anak kerana terdapat ketumbuhan pada rahimnya, namun bersyukur kerana impian untuk bergelar seorang ibu sudah tiba.

"Alhamdulillah, sudah sampai masanya untuk saya dan suami, (Omar Sharif Christopher Layton Dalton) memiliki anak sendiri walaupun kami sudah ada dua orang anak tiri.

"Apa yang terjadi sebelum ini benar-benar menakutkan saya kerana risau jika impian untuk memiliki anak akan punah. Sebab itu saya betul-betul mengikut nasihat doktor agar tidak ada lagi kejadian-kejadian yang tidak diingini.

"Bayangkan saya pernah dimasukkan ke wad kerana mengalami pendarahan yang teruk," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media “Ratu Hatiku Mother's day High-Tea exclusive With Ning Baizura And Band” di Hotel Royale Bintang Damansara, di sini, Jumaat.

Tambah Ning, demi mendapatkan cahaya mata sendiri, dia sanggup untuk mengurangkan aktiviti seninya bermula bulan Julai ini manakala Omar pula tidak akan menguruskan syarikat miliknya, HappeNings kerana akan bekerja di sebuah syarikat petroleum.

Bagaimanapun, peletakan jawatan Omar dalam syarikat Ning itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan khabar angin yang kononnya mereka sedang melalui pergolakan rumah tangga.

"Saya nafikan sekeras-kerasnya tentang gosip tersebut. Kami masih lagi suami isteri dan biasalah kalau ada pergaduhan kecil, tetapi tidaklah sampai ke tahap mahu bercerai.

"Kadang-kala saya berasa pelik entah daripada mana sumber itu didapati," ujarnya.

Mengenai majlis Hari Ibu itu, ia akan diadakan pada 20 Mei ini di Royale Bintang pukul 3 hingga 7 petang.

Majlis yang dianjurkan oleh Xerographix Studio itu akan menyediakan sebanyak 50 buah meja di mana para ibu dapat menikmati hidangan istimewa di samping mengabadikan detik indah bersama Ning.

"Rasa seronok pula dapat menjayakan majlis ini kerana inilah pertama kali saya membuat persembahan bersempena dengan Hari Ibu.

"Diharap saya dapat berkongsi rahsia dan ilmu daripada ibu-ibu yang akan hadir nanti. Mungkin juga saya akan meminta ibu saya berduet dengan saya," katanya.

Penyanyi Maulana dan Azrul (Raja Lawak) akan membuat penampilan istimewa pada majlis itu dan para penonton akan berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti iPad2, percutian tiga hari dua malam di tasik Kenyir Resort Taman Negara serta pelbagai cabutan bertuah.

Tiket berharga RM180, RM280, RM500 dan VIP Platinum boleh didapati menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain