suria

RTM Janji Peserta 'Bintang RTM 2012' Tidak Diabaikan

Sebanyak 16 peserta akan berentap untuk bergelar Bintang RTM 2012 yang akan bermula pada 5 Mei ini.
Sebanyak 16 peserta akan berentap untuk bergelar Bintang RTM 2012 yang akan bermula pada 5 Mei ini.
Sebanyak 16 peserta akan berentap untuk bergelar Bintang RTM 2012 yang akan bermula pada 5 Mei ini.

KUALA LUMPUR: Pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi jaminan kesemua 16 peserta pertandingan Bintang RTM 2012 (BRTM 2012) yang akan berentap bermula 5 Mei ini akan mendapat ruang di dua stesen milik kerajaan tersebut selepas tamat program itu.

Ketua Program TV, RTM iaitu Suhaimi Jamalin berkata, pihaknya akan memastikan kesemua mereka diberi peluang untuk mengembangkan bakat tidak hanya dalam bidang nyanyian tetapi juga dalam lakonan dan pengacaraan.

"Kami di RTM sedang merangka pelbagai program bukan sahaja berbentuk hiburan dan jaminan daripada RTM selepas tamatnya BRTM 2012 mereka akan diberi peluang untuk mengisi pelbagai agenda di dua stesen tersebut.

"Ini kerana mungkin ada di antara mereka yang akan menyerlah dalam bidang seperti pengacaraan atau lakonan dan kita akan nilai kemudian potensi mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Suhaimi ditemui ketika sidang media program itu di Angkasapuri di sini, Isnin.

Bercakap mengenai BRTM 2012, Suhaimi berkata, pada tahun ini pertandingan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai bangsa dan etnik di negara ini.

Menurut Suhaimi, pemilihan peserta itu telah dibuat bukan sahaja bagi mendukung gagasan 1Malaysia tetapi melalui bakat mereka supaya dapat menyemarakkan lagi industri muzik di negara ini.

"Tahun ini sebanyak tujuh peserta lelaki dan sembilan wanita ditampilkan dalam merebut gelaran juara BRTM 2012. Pemilihan mereka adalah berdasarkan penilaian profesional.

"BRTM 2012 juga turut menyaksikan banyak penglibatan daripada pelbagai kaum dan etnik yang ada di Malaysia dan nyata ramai yang mempunyai bakat terpendam," ujarnya.

Kesemua peserta tersebut adalah Lilienne (16), Firdaus (22), Christine (16), Charles (22), Dhila (17), Nabila (23), Arie Famree (23), Amira (17), Diandra (20), Fitri (19), Shalina (16), Hafsyam (25), Shazia (19), Darren (20), Aisha (23) dan Farid (25).

BRTM 2012 bakal membuka tirai pentas pertandingan dengan Corat-Coret untuk memperkenalkan 16 peserta pada 5 Mei pukul 9 malam di TV2.

Manakala peringkat suku akhir pertama pada 12 Mei pada waktu sama dan pertandingan akhir akan diadakan pada 7 Julai depan.

Ia bakal dihoskan oleh Muaz daripada program Diva@1.

Dalam pada itu, penerbit BRTM 2012, Mohd Yusni Mohamed Ali berkata, musim kali ini adalah sebagai kesinambungan usaha stesen itu untuk menyemarakkan industri hiburan di samping mengetengahkan bakat-bakat terpendam.

Mohd Yusni berkata, untuk tahun ini, BRTM 2012 tidak banyak menampilkan kelainan sebaliknya yakin format sedia ada mampu untuk menarik perhatian penonton.

"Walaupun banyak program berbentuk pertandingan nyanyian sedang rancak ke udara di stesen lain tetapi pihak kami optimis BRTM akan mempunyai pengikutnya sendiri.

"Tambahan pula kita tidak menggunakan sebarang undian menerusi SMS sebaliknya seratus peratus penilaian daripada pihak juri profesional," ujarnya.

Juri profesional terdiri daripada Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, Adnan Abu Hassan, Ahmad Asnawi, Leornard, Eddy Kismilardy dan Ali Shabdi.

Bintang RTM sebelum ini pernah mencungkil bakat nama-nama besar seperti Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Dahlan Zainudin dan Allahyarham Datuk Sudirman.

Artikel Berikut

Artikel Lain