suria

Penerbit Sedia Terima Risiko Sambutan Filem ‘Hoore! Hoore!’

Gayatri Su-Lin Pillai
Gayatri Su-Lin Pillai
Gayatri Su-Lin Pillai

KUALA LUMPUR: Penerbit Eksekutif filem Hoore! Hoore!, Gayatri Su-Lin Pillai bersedia menghadapi sebarang kemungkinan apabila filem itu memulakan tayangannya serentak dengan filem Aku Ada, Kau Ada (Pensil Pictures) menerusi sistem baru dua filem seminggu pada 24 Mei depan.

Gayatri yang merupakan Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn Bhd berkata, sebagai penggiat filem walaupun pihaknya sedia maklum dengan keputusan tersebut, mereka tetap berasa risau terhadap sambutan penonton kelak.

“Kami memahami keputusan yang sudah ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Skim Wajib Tayang (SWT). Kami harus akur dengan risiko yang bakal diterima filem Hoore! Hoore! apabila ia mula ditayangkan nanti.

“Memang bimbang dan sangsi juga kerana filem ini perlu bersaing dengan sebuah lagi filem yang ditayangkan serentak, selain filem-filem luar tetapi mahu tidak mahu kami perlu terima cabaran itu,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Pada Mac lalu, Finas mengumumkan pelaksanaan sistem baru itu selepas mengambil kira jumlah filem yang menunggu giliran pada tahun ini meningkat dengan mendadak iaitu lebih 70 buah filem berbanding 49 buah filem sepanjang 2011.

Ketika ditanya mengenai pemilihan slot tayangan itu, Gayatri berkata pihaknya memohon tarikh tersebut berdasarkan beberapa sebab yang bersesuaian dengan aspek promosi filem berkenaan.

“Kami sedar filem ini akan menjadi filem pertama ditayangkan di bawah sistem baru itu tetapi kami tidak mempunyai banyak pilihan. Kebetulan, pada bulan Mei adalah musim cuti persekolahan.

“Tarikh 24 Mei itu dipilih kerana ia mempunyai nilai sentimental pada Hoore! Hoore! yang berinspirasikan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. Tarikh tayangan itu adalah sehari sebelum tarikh lahir Allahyarham.

“Filem ini dihasilkan untuk meraikan karya-karya Allahyarham, jadi pemilihan tarikh itu bersesuaian untuk promosi,” katanya.

Gayatri berkata, pihaknya bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima apa sekalipun kutipan yang bakal diterima filem itu nanti.

“Kalau dilihat pada trend kutipan filem dari Januari hingga April pada tahun ini, masih belum ada filem yang mencatat kutipan besar seperti tahun-tahun lepas melainkan Adnan Sempit 2.

“Menyedari hakikat itu, kami bersedia untuk sebarang kemungkinan, cuma saya berharap penonton akan beri peluang kepada filem ini nanti,” katanya.

Filem arahan Saw Teong Hin itu antaranya dibintangi Akim, Farah Nazirah, Harun Salim Bachik, Adibah Noor, Sahronizam Noor dan Fauziah Nawi.

Artikel Lain