suria

Tiket Persembahan Pelawak Russell Peters Habis Dijual

Russell Peters
Russell Peters
Russell Peters

PETALING JAYA: Russell Peters mencipta kehebatan luar biasa apabila 7,900 tiket bagi menyaksikan persembahannya Stadium Melawati di Shah Alam, dekat sini pada 12 Mei depan telah habis dijual dalam masa tiga jam.

Penerbit Running Into The Sun (RITS), Leonard Chua berkata, sambutan itu disebabkan keterujaan rakyat Malaysia untuk menyaksikan persembahan Peters yang jarang ke negara ini.

"Rakyat Malaysia seolah-olah sudah tahu untuk mengambil peluang bagi menyaksikan satu persembahan yang luar biasa,” katanya kepada akhbar The Star, Rabu.

Chua menambah, peminat telah datang bermula pukul 9 pagi hingga 6.30 petang untuk mendapatkan tiket yang dijual di pejabatnya di Kelana Jaya di sini pada Selasa lalu.

"Tiket yang lebih murah, berharga RM128 dan RM188, telah habis dijual dalam tempoh sejam," katanya.

Peters, yang menggunakan elemen humor untuk mengetengahkan isu kaum, etnik, kelas dan budaya merupakan individu yang diberi bayaran tinggi kerana lawaknya digilai ramai.

Di negara kelahirannya di Kanada, Peters menjadi pelawak yang pertama mampu menjual tiket sebanyak 30,000 keping bagi pertunjukan nasional ketika kaunter tiket dibuka selama dua hari.

Beliau turut memecahkan rekod jualan persembahan komedi British di O2 Arena, London apabila lebih 16,000 tiket untuk pertunjukannya pada 14 Februari 2009 telah habis dijual.

Pelawak itu turut mengulangi pencapaian serupa di Acer Arena di Sydney, Australia pada tahun 2010 apabila melakukan pertunjukan komedi terhebat dalam sejarah Australia kerana berjaya menarik lebih 13,000 peminat.

Bulan lalu, sesuatu yang luar biasa berlaku ke atas pelawak itu apabila tiket untuk dua pertunjukannya di Dubai habis dijual dalam masa lapan minit iaitu lebih pantas daripada jualan tiket untuk penyanyi Madonna.

Star Media Group merupakan media rasmi bagi acara itu di Shah Alam nanti sementara Red FM, yang turut diuruskan oleh The Star merupakan stesen radio rasmi untuk siri jelajah pelawak itu.

Sebarang pertanyaan, sila lawati www.the comedyclubkl.com atau ticketpro.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Lain