suria

Tiara Batal Muzikal P.Ramlee Kerana Masalah Penaja

Tiara
Tiara
Tiara

PETALING JAYA: Kekurangan penaja adalah antara penyebab Muzikal P.Ramlee yang dijangka akan dipentaskan pada November depan terpaksa dibatalkan.

Penerbit Eksekutif muzikal berkenaan, Datin Seri Tiara Jacquelina yang juga Presiden Enfiniti Vision Media Sdn Bhd berkata, penghasilan muzikal berkenaan memerlukan kos yang sangat besar di semua peringkat.

"Kami membelanjakan kira-kira RM4 juta untuk mementaskan semula teater ini pada tahun 2008 dan pertunjukannya perlu berjalan selama empat hingga enam bulan untuk mendapat pulangan modal. Tapi, kami hanya diberikan kurang dari tiga minggu,” katanya.

Muzikal P.Ramlee dipentaskan pada tahun 2007 dan memenangi enam trofi pada Anugerah Kesenian BOH Cameronian ke-6 pada tahun 2007 termasuk Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Set Terbaik dan anugerah Pilihan Penonton. Ia telah ditonton oleh 60,000 rakyat pelbagai kaum dan kumpulan umur.

Tiara berkata keputusan mengadakan persembahan untuk kali ketiga itu dibuat kerana P. Ramlee adalah ikon besar bagi Malaysia yang diminati oleh semua kaum. Ia juga bertujuan untuk membolehkan generasi sekarang mengenang kehebatan seniman agung itu.

"Kami mungkin dapat mengkaji semula penangguhan ini sekiranya ada pihak yang mahu menjadi penaja bagi membolehkan kami menerbitkan sebuah karya yang berkualiti," katanya.

Selain Muzikal P. Ramlee, Enfiniti Vision Media juga telah mementaskan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang dan Secret Life Of Nora.

Artikel Sebelum

Artikel Lain