suria

Penganjur Bimbang Penganjuran 'Metal Camp' Dapat Tentangan

PETALING JAYA: Syarikat THY Sindicate dan Nebiula Production berasa bimbang konsert yang bakal dianjurkan mereka iaitu Metal Camp pada 29 April ini ditentang oleh segelintir pihak.

Wakil penganjurnya, Amir Hamzah Arshad berkata, berdasarkan pengalaman penganjuran konsert yang lalu, terdapat golongan yang anti muzik metal muncul dengan membuat kecaman kononnya ia boleh merosakkan masyarakat terutamanya yang beragama Islam.

"Saya harap, perkara seperti kecaman atau tentangan tidak akan berlaku kerana ia boleh menjejaskan perjalanan persiapan konsert.

"Lagipun muzik metal bukanlah satu perkara yang negatif untuk disukai. Lihatlah sejarah konsert metal yang terdahulu, kami tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Yang penting pihak kami dapat menghiburkan para penonton dan pada masa sama dapat menyampaikan mesej berguna menerusi lirik-lirik lagu yang disampaikan itu," katanya pada sidang akhbar konser Metal Camp di Restoran Switchblade, di sini, Selasa.

Konsert Metal Camp yang merupakan penganjuran kelima itu bakal tampil dengan kumpulan-kumpulan metal tempatan seperti Koffin Kanser, Bloodshed, Infectious Maggots, Sarjan Hassan, Hayagriva dan Lobotomy.

Menarik mengenai konsert kali ini, kumpulan legenda “heavy metal” dari Amerika Syarikat (AS), D.R.I turut di undang mempersembahkan nyanyian hebat mereka.

"Selepas empat kali penganjuran konsert Metal Camp bermula tahun 2008, persembahan kali ini akan diiringi oleh kumpulan hebat di AS.

"Bukan mahu membanggakan kumpulan itu semata-mata, tetapi ia sekadar permulaan untuk menggabungkan kumpulan metal tempatan dan luar negara dalam sebuah konsert kami di masa akan datang," ujarnya.

Metal Camp yang juga di bawah kerjasama Bsync Production bakal menggegarkan pentas Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur, bermula pada pukul 3 petang hingga ke 12 tengah malam.

Tiket berharga RM75 dan RM90 boleh dibeli menerusi kaunter Nebiula Heavy Metal Shop, Kuala Lumour (013-2193383), Khakan Production, Ipoh, Perak (013-4962511), RDL Distro, Johor Bahru (012-7814198) dan Dead Beat Shop, Pulau Pinang (012-4460316).

Artikel Lain