suria

D.J Dave & Marsha Berganding Rakam Lagu Whitney Houston

D.J Dave
D.J Dave
D.J Dave

KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk D.J Dave bersama Marsha Milan Londoh (Marsha) akan melakukan kolaborasi menerusi lagu popular mendiang Whitney Houston I Will Always Love You yang diberikan nafas baru bertujuan memeriahkan kemunculan album terbarunya tidak lama lagi.

D.J Dave berkata projek duet itu sudah lama diputuskan tetapi sering tertangguh kerana kesibukannya dengan pelbagai komitmen lain.

“Secara kebetulan, apabila saya dan Marsha mahu memulakan projek duet ini, kita dikejutkan dengan berita kematian Whitney Houston pula.

“Ia adalah secara kebetulan sahaja tetapi gimik yang baik untuk lagu ini juga,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.

Penyanyi berusia 64 tahun itu berkata, Marsha menjadi pilihan kerana keistimewaan vokal bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu.

“Saya suka kepada keunikan ton suara Marsha. Dia mempunyai penjiwaan yang baik pada lagu balada. Suaranya sangat sesuai untuk lagu I Will Always Love You.

"Ia akan dirakamkan dalam dwi bahasa iaitu Inggeris dan Hindi. Kami akan menyanyi dalam dua bahasa ini secara bergilir-gilir dengan susunan muzik baru.

"Lagu ini akan dimuatkan dalam album terbaru saya yang dijangka keluar pada tahun ini,” katanya yang turut merakamkan beberapa lagu komposer Datuk M. Nasir.

Selain album baru, penyanyi lagu Ingin Bersua ini sedang giat membuat persiapan untuk konsert bernilai RM1 juta iaitu Sketsa Memori - Live D.J Dave.

Ia bakal berlangsung pada 1 hingga 3 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya bersempena ulang tahun ke-40 pembabitannya dalam bidang seni.

Pada konsert selama dua jam itu nanti, D.J Dave turut mengundang penyanyi-penyanyi seangkatan dengannya seperti Uji Rashid dan Datuk Ahmad Nawab serta artis-artis baru antaranya Dayang Nurfaizah dan juga Marsha.

Artikel Sebelum

Artikel Lain