suria

YouTube Malaysia Jalin Kerjasama Dengan MACP

Pengarah Urusan Produk YouTube Asia Pasifik, Adam Smith dan Pengurus Google Malaysia, Sajith Sivanandan semasa majlis pelancaran Youtube Malaysia pada Khamis.
Pengarah Urusan Produk YouTube Asia Pasifik, Adam Smith dan Pengurus Google Malaysia, Sajith Sivanandan semasa majlis pelancaran Youtube Malaysia pada Khamis.
Pengarah Urusan Produk YouTube Asia Pasifik, Adam Smith dan Pengurus Google Malaysia, Sajith Sivanandan semasa majlis pelancaran Youtube Malaysia pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Laman sosial popular, YouTube telah menandatangani satu perjanjian pelesenan dengan Badan Pelindung Hakcipta Muzik Malaysia (MACP) yang bertujuan membenarkan para pemuzik dan komposer dari negara ini untuk memperoleh hasil pendapatan daripada laman tersebut.

Pengurus Besar MACP, Chan Miew Lan berkata, keputusan untuk bekerjasama dengan YouTube itu dibuat bagi menjaga hak semua pengkarya muzik di Malaysia apabila karya mereka digunakan secara meluas.

"YouTube sememangnya sangat popular di Malaysia dan keputusan untuk bekerjasama dengan mereka akan memberikan manfaat kepada semua pemuzik dan komposer tempatan," ujarnya kepada mStar Online.

Chan ditemui ketika majlis pelancaran laman Youtube Malaysia di sini pada Khamis.

Pengguna boleh melawat laman itu dengan penetapan 'Malaysia' sebagai lokasi yang terdapat di bahagian bawah laman utama Youtube.com atau terus layari www.youtube.com.my.

Versi terbaru ini lebih menumpukan kepada video tempatan bagi memudahkan pengguna membuat carian dengan lebih cepat.

Pengarah Urusan Produk YouTube Asia Pasifik, Adam Smith berkata, YouTube Malaysia juga mewujudkan satu ruang dalam talian bagi memberi peluang kepada pencipta Malaysia untuk mengembangkan karya mereka.

Adam berkata, versi tempatan ini juga bakal membantu rakyat negara ini mencari video kegemaran mereka dengan lebih baik dan membawa kandungan tempatan lebih jauh ke seluruh dunia.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia menggunakan YouTube dan versi tempatan ini diwujudkan bertujuan untuk menghasilkan lebih banyak kandungan tempatan yang lebih relevan kepada penonton.

"Lebih penting, personaliti dan pemuzik Malaysia boleh menghasilkan lebih banyak video menarik dan sudah tentu ia akan menarik perhatian masyarakat dunia," ujarnya.

Selain menjalinkan kerjasama dengan MACP, Youtube Malaysia juga turut melakukan kolaborasi dengan syarikat-syarikat tempatan seperti Astro Malaysia, KRU Studios serta beberapa pengiklan terbesar seperti Dutch Lady, Malaysia Airlines, Maxis dan Standard Charted.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan persembahan daripada artis Yunalis Zarai atau Yuna, Joe Flizzow dan Mizz Nina.

Artikel Lain