suria

Fitnah Terhadap Syed Ali Terus Tersebar

Syed Ali
Syed Ali
Syed Ali

PETALING JAYA: Pelakon Syed Ali sekali lagi berhadapan dengan fitnah terbaru apabila terus dikaitkan sebagai seorang lelaki mengamalkan hubungan sejenis.

Pelakon berusia 26 tahun ini berkata, dia berasa sedih dan terkilan kerana tuduhan kononnya dia menjalin hubungan dengan pelakon Azam Pitt sebelum ini belum pun reda, kini dia kembali dikaitkan dengan fitnah seumpama itu.

“Saya baru sahaja dimaklumkan oleh seorang teman semalam (Ahad) mengenai penyebaran fitnah yang mendakwa saya seorang gay untuk kali kedua. Saya benar-benar rasa amat terkilan dengan perkara itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Syed Ali turut meluahkan rasa kurang senangnya mengenai tuduhan itu menerusi akaun Facebook miliknya pada Isnin yang antara lain beliau menyindir pihak-pihak tertentu dengan mengucapkan terima kasih kerana memfitnahnya.

Kata pelakon drama Jiwa Kacau itu, dia berasa terkejut dengan tuduhan terbaru yang mendakwa dia membawa “teman lelaki” dan berpegangan tangan di lokasi penggambaran sebuah drama, baru-baru ini.

“Menurut kawan saya, tuduhan itu dipaparkan di sebuah laman blog hiburan sejak dua minggu yang lalu.

“Padahal perkara itu tidak berlaku dan tidak logik sama sekali kerana takkanlah saya hendak berkelakuan sedemikian di lokasi penggambaran yang menjadi tempat saya bekerja," katanya.

Syed Ali berkata walaupun dia enggan melayan dakwaan liar sebegitu, dia tidak menafikan tuduhan tersebut mengaibkan dan boleh menjejaskan reputasinya sebagai seorang pelakon.

“Saya tahu fitnah adalah asam garam dunia artis tetapi apa yang dilemparkan kepada saya adalah sesuatu yang berat dan memalukan.

“Apabila perkara itu tidak betul tetapi ia terus diperkatakan, saya jadi buntu dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk saya menghadapinya.

“Ini bukan kali pertama saya didakwa gay, kini fitnah ini timbul semula. Saya bimbang jika orang terus melabel saya lelaki seperti itu apabila sering dikaitkan dengan isu yang sama,” katanya dengan nada kesal.

Terbaru mengenai kerjaya lakonannya, Syed Ali kini sedang terlibat dengan penggambaran drama Digi Road Trip untuk siaran Astro.

Dia juga baru sahaja menamatkan penggambaran drama 20 episod berjudul Bonda di bawah arahan Azman Yahya (Jinggo) terbitan JS Pictures.

Artikel Lain