suria

Pintu Rezeki Fizo Terbuka Luas Selepas Insiden Tipu

Fizo Omar.
Fizo Omar.
Fizo Omar.

PETALING JAYA: Pelakon Fizo Omar, 27, mengakui rezekinya semakin murah selepas insiden ditipu ketika menjadi penjamin bagi pinjaman bank yang dibuat sebuah syarikat di Damansara, di sini sehingga terpaksa menanggung hutang sebanyak RM2 juta.

Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, berkata, walaupun berhadapan dengan kejadian itu dia bersyukur Allah telah membuka pintu rezekinya dengan lebih luas dalam bidang lakonan dan perniagaan.

"Doa orang yang teranaiya akan dimakbulkan oleh Allah dan perkara itu telah terjadi kepada saya. Alhamdulilah rezeki semakin mencurah-curah selepas kejadian itu," ujarnya kepada mStar Online.

Fizo ditemui ketika menghadiri Festival BN Youth Music yang diadakan di The Curve, Damansara di sini, Ahad.

Dalam pada itu ditanya mengenai kes tersebut, Fizo berkata ia masih dalam proses siasatan dan dia menyerahkan sepenuhnya kepada Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat yang mewakilinya dalam kes itu.

"Saya tidak boleh kata apa-apa mengenai kes itu kerana masih dalam proses siasatan oleh peguam saya dan yakin kebenaran akan menyebelahi saya," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terbaru, Fizo berkata dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama rantaian berjudul Cinta Buat Emelda untuk siaran TV3 selain sedang menunggu empat buah filemnya menjengah di pawagam tahun ini.

Fizo memberitahu empat filem berkenaan adalah 7 Petala Cinta, Azazil, Minyak Dagu, Halimunan dan Hello.

"Selepas kes itu saya kelihatan agak suram di media massa tetapi saya sebenarnya sibuk di lokasi penggambaran filem dan drama. Alhamdulilah rezeki tidak putus-putus," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fizo berkata dia semakin selesa dan gembira dengan tanggungjawab barunya sebagai pengacara program bual bicara iaitu Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Fizo turut memberitahu dia juga tidak menang tangan mengendalikan perniagaan studio miliknya iaitu 120 Studio yang terletak di Ukay Perdana, Ampang dekat sini.

"Alhamdulilah perniagaan juga dalam keadaan baik dan semakin maju. Kehidupan saya sentiasa sibuk namun berada di tahap baik.

"Setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya dan saya percaya perkara buruk yang telah menimpa saya telah diganti dengan pelbagai peristiwa baik dalam hidup saya kini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain