suria

Mahu Kejutan, Azura (Hot FM) Tidak Tahu Jantina Anak

Azura enggan mengetahui jantina anaknya sehinggalah bayi itu dilahirkan. Foto UTUSAN MALAYSIA.
Azura enggan mengetahui jantina anaknya sehinggalah bayi itu dilahirkan. Foto UTUSAN MALAYSIA.
Azura enggan mengetahui jantina anaknya sehinggalah bayi itu dilahirkan. Foto UTUSAN MALAYSIA.

KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio Hot FM, Azura, 31, enggan mengetahui jantina anak sulung yang dikandungkannya sehinggalah bayi itu lahir.

Azura atau nama sebenarnya, Nik Nur Azura Nik Mahmood berkata, dia yang dijangka bersalin pada April depan sengaja berbuat demikian kerana ingin memberi kejutan kepada dirinya sendiri.

Bagaimanapun suaminya, Shaffique Ahmad Zehnun yang merupakan petugas di TV3 sudah mengetahui jantina anak tersebut.

"Saya sudah berpesan kepada suami supaya jangan beritahu jantina anak kepada saya kerana mahu beri kejutan kepada diri sendiri. Paling penting anak itu nanti sihat dan selamat," ujarnya kepada mStar Online.

Azura yang kini bertugas sebagai Ketua Program Rancangan Hot FM memberitahu, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah ketika membeli barangan keperluan untuk bayinya nanti kerana memilih pakaian daripada rona yang boleh dipakai oleh kedua-dua jantina.

Tambahnya, persiapan juga telah dibuat memandangkan kandungannya sudah mencecah usia tujuh bulan.

"Saya beli sikit-sikit supaya tidak kelam kabut dan sehingga kini kelengkapan bayi kami telah pun sedia," ujarnya.

Dalam pada itu, Azura berkata, dia teruja dengan kehadiran orang baru dalam keluarganya selepas tiga tahun berkahwin dan telah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.

"Sebelum ini saya dan suami memang merancang kehamilan kerana ingin menghabiskan masa bersama-sama terlebih dahulu kerana sebelum kahwin kami jarang dapat berjumpa.

"Namun selepas tiga tahun, kami berdua merasakan sudah tiba masanya untuk memiliki anak dan teruja menanti kelahiran bayi pertama," katanya.

Sementara itu, Azura berkata, dia akan bersalin di Kuala Lumpur sebelum kembali ke kampung halamannya di Kuala Terengganu untuk menjalani proses berpantang selama dua bulan.

Katanya, dia juga mungkin akan mengambil seorang pembantu rumah untuk menjaga anaknya nanti kerana bakal berpindah ke rumah sendiri selepas habis berpantang.

"Sebelum ini saya dan suami duduk di rumah mertua di Danau Kota, Setapak dan selepas habis berpantang kami akan berpindah ke Damansara Damai kerana lebih dekat dengan pejabat.

"Ia bakal memudahkan saya untuk berulang alik dari pejabat ke rumah untuk menjenguk anak nanti," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain