suria

Muzikal 'Upin & Ipin' Bakal Dipentaskan 23 Hari Tanpa Henti

Antara sedutan muzikal Upin & Ipin yang bakal dipentaskan selama 23 hari tanpa henti di Istana Budaya bermula 14 April depan. - Foto oleh ROHAIZAT DARUS
Antara sedutan muzikal Upin & Ipin yang bakal dipentaskan selama 23 hari tanpa henti di Istana Budaya bermula 14 April depan. - Foto oleh ROHAIZAT DARUS
Antara sedutan muzikal Upin & Ipin yang bakal dipentaskan selama 23 hari tanpa henti di Istana Budaya bermula 14 April depan. - Foto oleh ROHAIZAT DARUS

KUALA LUMPUR: Teater muzikal Upin & Ipin bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya selama 23 hari tanpa henti bermula 14 April hingga 6 Mei depan.

Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, teater muzikal itu juga bakal menjadi pementasan paling banyak dipentaskan dalam sejarah Istana Budaya iaitu sebanyak 30 persembahan.

"Teater ini melibatkan 23 persembahan malam (8.30 malam) manakala bakinya pada sebelah petang (3 petang).

"Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan jumlah persembahan akan ditambah jika permintaan terhadap Upin & Ipin meningkat," ujarnya kepada mStar Online.

Burhanuddin ditemui ketika majlis pelancaran teater muzikal itu di sini, Isnin.

Turut hadir pada majlis itu adalah isteri mantan Perdana Menteri ke empat iaitu, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Persembahan ini bakal menampilkan 55 orang pelakon pelbagai usia, bangsa dan latar belakang.

Burhanuddin berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk membawa teater muzikal itu ke peringkat antarabangsa berikutan sambutan hebat siri dan filemnya di beberapa buah negara di Asia Tenggara.

Katanya, atas dasar itu juga pihaknya bakal mengadakan sebuah pementasan khas pada 28 April depan pada pukul 3 petang dalam bahasa Inggeris.

"Siri Upin & Ipin bukan sahaja diminati oleh kanak-kanak berbangsa Melayu tetapi juga dari pelbagai kaum lain.

"Memandangkan siri ini mempunyai pengikut daripada bangsa lain kita akan mengasakan sebuah pementasan dalam bahasa Inggeris," ujarnya.

Dalam pada itu, pengarah teater muzikal Upin & Ipin, Zaifiri Husin berkata persembahan itu nanti berbeza daripada siri yang ditayangkan di kaca televisyen tetapi tetap mengekalkan elemen-elemen asal.

Zaifiri berkata, pihaknya juga memutuskan untuk tidak menggunakan maskot bagi watak Upin & Ipin kerana memikirkan faktor pergerakan yang terhad.

"Pada asalnya kita ingin menggunakan maskot tetapi apabila mengenangkan ia sukar untuk bergerak dan kostum tersebut panas, kita memutuskan untuk menggunakan kanak-kanak bagi menggantikan maskot," ujarnya.

Ditanya mengenai kesukaran mengarahkan teater muzikal itu, Zaifiri berkata, mengawal lebih 60 orang kanak-kanak dalam satu masa Upin & Ipin adalah menjadi cabaran utamanya.

Namun katanya, dia mengagumi bakat mereka yang disifatkan sebagai luar biasa dan sentiasa memberikan komitmen.

"Biasalah kanak-kanak, apabila dah berjumpa dengan kawan-kawan kecoh jadinya.

"Tetapi saya kagum dengan bakat yang ada pada mereka kerana separuh di antara mereka langsung tiada pengalaman dalam bidang teater," ujarnya.

Teater muzikal Upin & Ipin turut mendapat kerjasama KPJ Healthcare Berhad yang tampil sebagai penaja utama.

Tiket pementasan itu dijual dengan harga serendah RM30 hingga RM400 dan sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi 03-6186 6592/ 017-871 660/ 012-297 7220 atau boleh melayari www.upinipinmusical.blogspot.com.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gambit Saifullah Nekad Berehat

Artikel Lain