suria

‘The Artist’ Filem Terbaik, Ungguli Lima Anugerah Oscar 2012

Barisan pelakon dan tenaga produksi filem The Artist meraikan kemenangan filem itu pada Anugerah Academy ke-84 pada malam Ahad.
Barisan pelakon dan tenaga produksi filem The Artist meraikan kemenangan filem itu pada Anugerah Academy ke-84 pada malam Ahad.
Barisan pelakon dan tenaga produksi filem The Artist meraikan kemenangan filem itu pada Anugerah Academy ke-84 pada malam Ahad.

HOLLYWOOD: Filem bisu hitam putih arahan pengarah Perancis Michel Hazanavicius, The Artist menerima pengiktirafan tertinggi sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Academy ke-84 pada malam Ahad (waktu tempatan), di sini.

Filem yang melakar sejarah sebagai filem bukan bahasa Inggeris pertama yang meraih kejayaan tertinggi di anugerah Oscar itu turut membawa pulang empat anugerah lain iaitu Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik, Skor Asal Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik.

“Saya adalah pengarah filem yang paling gembira di dalam dunia pada waktu ini,” kata Hazanavicius ketika berucap menerima kemenangan anugerah Pengarah Terbaik.

The Artist berkisar tentang kisah seorang bintang filem bisu George Valentin lakonan aktor Perancis, Jean Dujardin yang terpaksa menyesuaikan diri dengan perkembangan era filem suara.

“Saya sayangkan negara anda (Amerika Syarikat),” kata Dujardin ketika menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, yang merupakan lelaki Perancis pertama memenangi kategori itu.

Filem pengembaraan 3D arahan Martin Scorsese, Hugo yang tercalon menerusi 11 kategori berbanding 10 pencalonan untuk The Artistturut menggondol lima anugerah.

Bagaimanapun, kesemua trofi itu diperolehi daripada aspek teknikal.

Aktres veteran Meryl Streep memenangi Pelakon Wanita Terbaik menerusi The Iron Lady.

Ia adalah kemenangan ketiga buat aktres berusia 62 tahun itu dan yang pertama dalam tempoh tiga dekad. Kemenangan itu sekaligus mengukuhkan status Streep sebagai aktres terunggul dalam generasinya.

Streep yang menggalas watak bekas Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher, berkata: “Oh, tidak, saya dapat merasakan separuh daripada warga Amerika akan berkata, ‘Dia lagi (menang).’ Tetapi saya tidak peduli.”

Octavia Spencer yang membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi watak pembantu rumah berkulit hitam dalam drama hak asasi, The Help menerima tepuk sanjungan daripada penonton.

Aktor veteran Kanada, Christopher Plummer yang menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi Beginners mengakhiri penantian selama enam dekad sebagai pelakon untuk memenangi Oscar.

Antara pemenang lain termasuklah filem animasi Rango yang dinobat Filem Cereka Animasi Terbaik dan Woody Allen yang dinobat Lakon Layar Asal Terbaik untuk filem arahannya iaitu Midnight in Paris.

Majlis gemilang itu membariskan bintang-bintang besar termasuk pemenang Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pada tahun lalu iaitu Colin Firth dan Natalie Portman, Tom Cruise, Penelope Cruz, Tom Hanks dan Angelina Jolie selaku penyampai.

Antara pertunjukan memukau pada acara itu adalah persembahan bertemakan sinema oleh kumpulan penari dari Kanada, Cirque du Soleil dalam akrobatik luar biasa yang melangkaui pentas dan siling auditorium tersebut.

“Wow, saya menjadi kejang menyaksikan persembahan itu,” kata pengacara veteran Billy Crystal, yang mengemudi anugerah itu untuk kali kesembilan.

Pelawak British, Sacha Baron Cohen turut mencuri perhatian apabila tampil berpakaian seperti watak filem terbarunya, The Dictator dan menuang abu mayat palsu mendiang pemimpin Korea Utara, Jim Kong-Il pada acara karpet merah. - AFP

Berikut adalah senarai penuh penerima Oscar 2012:

Filem Terbaik

The Artist

Pengarah Terbaik

The Artist, Michel Hazanavicius

Pelakon Lelaki Terbaik

Jean Dujardin, The Artist

Pelakon Wanita Terbaik

Meryl Streep, The Iron Lady

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

Christopher Plummer, Beginners

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

Octavia Spencer, The Help

Filem Cereka Animasi Terbaik

Rango, Gore Verbinski

Pengarahan Seni Terbaik

Hugo, Dante Ferretti (Rekaan Produksi) dan Francesca Lo Schiavo (Dekorasi Set)

Sinematografi Terbaik

Hugo, Robert Richardson

Rekaan Kostum Terbaik

The Artist, Mark Bridges

Suntingan Terbaik

The Girl with the Dragon Tattoo, Kirk Baxter dan Angus Wall

Filem Bahasa Asing Terbaik

A Separation, pengarah Asghar Farhadi (Iran)

Solekan Terbaik

The Iron Lady, Mark Coulier dan J. Roy Helland

Suntingan Bunyi Terbaik

Hugo, Philip Stockton dan Eugene Gearty

Adunan Bunyi Terbaik

Hugo, Tom Fleischman dan John Midgley

Dokumentari - Cereka

Undefeated, TJ Martin, Dan Lindsay dan Rich Middlemas

Dokumentari - Pendek

Saving Face, Daniel Junge dan Sharmeen Obaid-Chinoy

Kesan Visual Terbaik

Hugo, Rob Legato, Joss Williams, Ben Grossman dan Alex Henning

Muzik (Skor Asal Terbaik)

The Artist, Ludovic Bource

Muzik (Lagu Asal Terbaik)

Man or Muppet, muzik dan lirik Bret McKenzie, The Muppets

Filem Pendek (Animasi) Terbaik

The Fantastic Flying Books of Mr. Morris Lessmore, William Joyce dan Brandon Oldenburg

Filem Pendek (Aksi Langsung) Terbaik

The Shore, Terry George dan Oorlagh George

Penulisan (Lakon Layar Adaptasi) Terbaik

The Descendants, oleh Alexander Payne dan Nat Faxon & Jim Rash

Penulisan (Lakon Layar Asal) Terbaik

Midnight in Paris, oleh Woody Allen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain