suria

Rehat Tidak Cukup Punca Kesihatan Diana Danielle Terganggu

Diana Danielle
Diana Danielle
Diana Danielle

PETALING JAYA: Pelakon jelita Diana Danielle (Diana) berkata keadaan kesihatannya yang tidak begitu stabil kebelakangan ini bukan disebabkan oleh dakwaan kononnya dia sedang sakit.

Sebaliknya Diana berkata ia berpunca daripada waktu rehat tidak menentu yang dilaluinya sejak kebelakangan ini.

"Saya akui tahap kesihatan saya tidak menentu kebelakangan ini. Ia berpunca daripada waktu tidur yang tidak tentu masa.

"Saya sangat sibuk dengan pelbagai komitmen kerja menyebabkan rehat dan tidur juga tidak cukup," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Jumaat.

Kekasih kepada aktor Farid Kamil ini berkata, apa yang lebih memburukkan keadaan ialah sikapnya yang tidak suka mendapatkan rawatan doktor atau mengambil ubat.

"Masalahnya ialah sikap saya yang tidak mengambil berat kesihatan sendiri. Saya tidak suka berjumpa doktor atau ambil ubat melainkan apabila keadaan bertambah teruk.

"Sekarang pun saya sedang demam selesema sejak dua hari lalu dan masih keberatan untuk jumpa doktor, walaupun sudah didesak beberapa kali oleh Farid," katanya.

Dalam perkembangan lain, Diana berkata dia bakal terlibat dalam filem animasi tempatan terbaru berjudul Supertots The Movie bermula minggu hadapan.

"Saya akan memainkan salah satu watak utama bernama Elly dalam animasi itu. Proses memasukkan suara akan bermula pada minggu depan bersama pelakon-pelakon lain seperti Aaron Aziz, Dafi dan Radhi Khalid," katanya.

Filem animasi futuristik arahan Naa Murad itu berkisar tentang lima kanak-kanak yang cuba menyelamatkan bumi daripada serangan makhluk asing. Ia dijangka ditayangkan di pawagam pada 2013.

Artikel Lain