suria

'Jom Ke Panggung' Paparkan Filem-Filem Terkini

Naz kendalikan 'Jom Ke panggung'.
Naz kendalikan 'Jom Ke panggung'.
Naz kendalikan 'Jom Ke panggung'.

PETALING JAYA: Informasi terkini mengenai industri perfileman dalam dan luar negara kini boleh didapati menerusi sebuah program terbaharu Jom Ke Panggung yang telah pun menemui penonton sejak 14 Februari lalu di saluran TV2.

Ia di siarkan selama setengah jam pada setiap Selasa, pukul 9.30 malam menampilkan Naz Habibur Rahman sebagai pengacara lokasi.

Program ini mengetengahkan segmen-segmen menarik termasuklah segmen Pecah Panggung, Projektor, Buletin Panggung, Anak Wayang dan Gosip Panggung.

Ia bukan sahaja memperkenalkan penonton dengan filem-filem dalam negara sebaliknya membawa penonton menyaksikan paparan menarik aksi dan sedutan filem antarabangsa yang diyakini dapat menarik minat orang ramai ke pawagam.

Segmen Pecah Panggung berkongsi sedutan menarik filem-filem yang berada di pawagam antaranya filem Beauty and The Beast 3D, Ghost Rider : Spirit of Vengeance, The Iron Lady, The Descendents, Chantek dan Man On The Ledge.

Dalam pada itu, segmen Projektor pula merupakan kisah di belakang tabir penggambaran sesebuah filem yang bakal disiarkan di panggung serta temu bual bersama pelakon, pengarah dan penerbit filem.

Antaranya, segmen ini berkongsi menyingkap di sebalik tabir filem Gerimis Mengundang arahan Ahmad Idham yang menggabungkan pelakon dan lokasi sekitar Malaysia dan Indonesia.

Kesempatan yang ada digunakan untuk menemu bual Kamal Adli dan pasangan pelakonnya, Olivia Jensen yang antara lain bertujuan menembusi pasaran di kedua-dua buah negara.

Nantikan juga segmen Buletin Panggung yang menyumbang maklumat tentang filem bakal berada di pawagam selain temu bual turut dilakukan bersama pelakon dan pengarah filem yang dipilih. Bagi penonton yang ingin mengenali dan mendekati tokoh-tokoh dalam industri seni negara, usah terlepas menyaksikan segmen Anak Wayang yang mengangkat profil seseorang pengarah dan pelakon tanah air.

Penonton bukan sahaja dapat berkongsi kisah kejayaan mereka sebaliknya dapat mengikuti sejarah dan latar belakang suka duka sebelum menempa kejayaan dalam bidang seni juga siapakah individu yang terlibat menjadi tulang belakang terhadap kejayaan mereka.

Program ini diakhiri dengan segmen Gosip Panggung yang memilih seorang artis tampil dengan gosip yang melanda mereka.

Namun ia bukan berlandaskan gosip semata-mata sebaliknya menyumbang kepada platform menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dan pada masa sama membuka peluang kepada artis terlibat untuk mempromosikan filem terbaharu masing-masing.

Saksikan 13 episod program padat informasi arahan Johan Farhan ini hanya di TV2.

Artikel Lain